Walaupun Felda pegang syer terbesar, Peter Sondakh masih kawal EHP

Walaupun Felda pegang syer terbesar, Peter Sondakh masih kawal EHP

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pembelian 37 peratus pegangan dalam Eagle High Plantations (EHP) tidak memberi Felda kuasa operasi ke atas bank tanah walaupun agensi milik kerajaan itu mempunyai syer terbesar dalam syarikat perladangan Indonesia itu.

Sehubungan itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mempersoalkan sikap Felda yang masih mempertahankan pembelian saham EHP pada harga tiga kali ganda lebih mahal (berbanding harga saham purata) atas alasan syarikat itu mempunyai bank tanah yang besar iaitu 425,000 hektar dan pembelian ini akan membuka potensi tanah-tanah itu kepada Felda.

Felda juga beralasan bahawa EHP sedang membangunkan perniagaan kilang penapis gula yang akan memberi akses kepada Felda walaupun ‘nilai ekonomi’ (Economic Value, EV) yang mampu dijana syarikat itu diragui.

“Saya tidak mahu mengheret rakyat ke kancah pertikaian perkara kecil seperti perbandingan EV dari satu syarikat perladangan kepada syarikat yang lain selagi isu asas iaitu bagaimana Felda akan membayar pembelian ini tidak dijawab.

“Namun, saya perlu memaklumkan orang ramai bahawa walaupun pembelian 37% saham oleh Felda itu akan menjadikannya pemegang saham terbesar di dalam EHP, tetapi kuasa untuk mengawal syarikat masih berada di tangan Tan Sri Peter Sondakh.

“Ini adalah kegilaan yang tidak pernah berlaku iaitu pemegang saham yang bukan terbesar mendapat kuasa mengawal syarikat,” dedah Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyandarkan hujahnya berdasarkan laporan CIMB bertarikh 15 Jun 2015 (mukasurat 3) dan laporan Credit Suisse bertarikh 15 Jun 2015.

Sehubungan itu, tegas beliau, tidak timbul soal Felda mempunyai akses kepada bank tanah yang besar kerana hakikatnya (berdasarkan rundingan asal dalam tahun 2015), Felda seolah-olah hanya menyuntik modal ke dalam EHP tanpa mempunyai suara penentu bagaimana perniagaan itu akan dilaksanakan.

“Maka, keputusan mengenai guna tanah dan lain-lain masih ditetapkan sepenuhnya oleh Tan Sri Peter Sondakh,” ujarnya.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan turut mengulangi pertanyaan sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memainkan peranan memaksa Felda menyuntik wang pada harga yang mahal ke dalam EHP untuk membantu sahabat karibnya Tan Sri Peter Sondakh sedangkan Felda tidak ada kuasa untuk mengawal operasi EHP.

TAGS