Wanita Amanah kecam tentera Israel tahan 13 peserta WBG

Wanita Amanah kecam tentera Israel tahan 13 peserta WBG

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Wanita Parti Amanah Negara (Awan) mengecam tindakan tentera Israel menahan kapal layar Zaytouna-Olivia yang membawa tiga anak kapal dan 10 aktivis wanita termasuk wakil tunggal Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hassan, dalam misi ‘Women’s Boat To Gaza'(WBG), semalam.

Ketua Awan Nasional Dr Siti Mariah Mahmud berkata, tindakan itu ternyata bertentangan dengan mesej keamanan yang dibawa peserta WGB.

Dr Fauziah bersama anggota misi bantuan kemanusiaan WBG itu mengikuti misi mencabar sekatan Israel ke atas Gaza setelah laluan darat ke negara yang dizalimi itu dikepung dan laluan masuk dari sempadan Mesir-Gaza di Arafah, turut ditutup.

Justeru Awan menggesa pemimpin-pemimpin dunia dan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendesak Israel membebaskan rakyat Palestin untuk bagi mendapatkan hak mereka sebagai warga negara.

“Dunia harus sedar bahawa negara Israel adalah negara haram yang dirampas dari Palestin dan misi Women’s Boat To Gaza ini membawa mesej keamanan dan mahu semua pihak sedar bahawa rakyat Palestin sedang berjuang menuntut hak mereka.

“Kami menggesa tentera israel segera membebaskan semua tahanan dan memastikan mereka dalam keadaan selamat kerana mereka tidak membawa sebarang peralatan yang membahayakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia mendoakan keselamatan semua anggota misi WGB dan terus menyebarkan maklumat berkaitan penindasan Israel ke atas Palestin supaya isu ini tidak tenggelam begitu sahaja.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia marilah kita sama-sama mendoakan keselamatan kesemua anggota misi dan terus menyebarkan mesej kepada dunia agar membuka mata terhadap kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin,” katanya.
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), dalam kenyataan malam tadi mengesahkan kapal layar Zaytouna-Olivia yang dalam perjalanan menuju ke Gaza, ditahan pada pukul 2.58 petang waktu tempatan (8.58 malam waktu Malaysia).

Kapal Zaytouna itu dijangka akan ditunda oleh tentera Israel ke Pelabuhan Ashdod, menurut kenyataan itu.

Selain Dr Fauziah, delegasi wanita dari negara lain adalah dari Tunisia, Israel, Algeria, Kanada, Turki, Amerika Syarikat, Sweden, Ireland, New Zealand dan Australia sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

Pelayaran WDB bermula pada 8 malam, 14 Sept (waktu tempatan Barcelona) dari pelabuhan Vell dan berhenti di Ajaccio, Perancis (bagi pusingan pertama) pada 19 Sept sebelum meneruskan perjalanan ke Messina, Itali (pusingan kedua).

Terdahulu, Dr Fauziah menerusi rakaman video mesej SOS beliau dan aktivis lain menggesa semua pimpinan dunia, kerajaan dan rakyat Malaysia serta mereka yang cintakan keamanan membebaskan semua 13 aktivis yang ditahan secara tidak sah itu.

Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap semua pihak yang menyokong dan berdoa agar mereka selamat.

TAGS