Wanita Amanah kutuk keganasan di Aleppo

Wanita Amanah kutuk keganasan di Aleppo

Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) menggesa semua pihak berhenti mengambil tindakan ketenteraan dan menggunakan keganasan sebagai jalan keluar daripada konflik di Syria.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Amanah menyerahkan memorandum ke Kedutaan Syria berhubung krisis di Aleppo

Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) menggesa semua pihak berhenti mengambil tindakan ketenteraan dan menggunakan keganasan sebagai jalan keluar daripada konflik di Syria.

Ketua Biro Antarabangsa Awan Nur Hidayah Ramli berkata, pihaknya yakin satu-satunya cara menyelesaikan krisis di Syria dan menghentikan penderitaan rakyatnya yang tidak berkesudahan adalah dengan menamatkan perang saudara.

“Awan mengutuk keras segala bentuk keganasan dan serangan terhadap orang awam yang tidak bersalah dan infrastruktur awam, terutamanya serangan ke atas pasukan perubatan.

“Oleh itu Awan menyeru masyarakat untuk menyatakan bantahan ke atas serangan kejam ini dan mengecam kekejaman yang mengerikan di Aleppo,” katanya dalam satu kenyataan.

Hidayah berkata, insan yang lemah seperti wanita dan kanak-kanak paling ramai menjadi mangsa kekerasan pihak tentera.

“Tindakan merogol wanita secara beramai-ramai, peningkatan jumlah kematian dan kecederaan kanak-kanak membuktikan pelanggaran hak asasi manusia dan krisis kemanusiaan yang sangat tidak munasabah ini,” katanya.

Justeru katanya Awan menyaakan solidariti berasma rakyat Syria dan berharap keamanan akan kembali di Aleppo.

“Simpati dan kesedihan kami bersama rakyat Syria yang telah mengalami kecederaan dan hilangan. Kita berdoa bahawa keamanan tidak lama lagi akan muncul dan memberi harapan untuk masa depan yang lebih baik di Syria,” katanya.

Semalam, Hidayah bersama Ketua Awan Dr Siti Mariah Mahmud bersama-sama Ketua Biro Antarabangsa Amanah Raja Bahrin Shah menyerahkan memorandum kepada kedutaan Syria di Kuala Lumpur untuk menegaskan pendirian parti itu terhadap krisis kemanusiaan yang menghimpit rakyat Syria di Aleppo.

TAGS