Wanita Amanah mahu tumpu selesai masalah, tegakkan keadilan untuk wanita

Wanita Amanah mahu tumpu selesai masalah, tegakkan keadilan untuk wanita

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ahli Parti Amanah Negara (Amanah) khususnya dalam kalangan wanita perlu menumpukan perhatian terhadap penyelesaian masalah golongan itu jika mahu mendapat sokongan mereka.

“Kita mesti turun padang untuk mendapat situasi sebenar yang dihadapi kaum wanita di luar sana yang kini terhimpit dengan pelbagai tekanan dan kesusahan,” kata ketua angkatan Wanita parti Amanah (Awan) negeri Kelantan, Normala Mohd Nazar ketika menyampaikan ucapan penangguhan di mesyuarat penubuhan Awan Kelantan di Kota Bharu semalam.

Normala dipilih tanpa bertanding sebagai Ketua Awan Kelantan dalam mesyuarat penubuhan berkenaan.

Amanah Kelantan melalui sayap wanita katanya, telah memulakan pelbagai gerak kerja membantu golongan wanita yang menghadapi pelbagai kesukaran.

“Kesan banjir kuning 2004 masih dirasai sampai sekarang dan kita terus menerus membantu setakat yang termampu bersama rakan-rakan NGO dan orang-orang perseorangan yang memberi kerjasama,” katanya.

Beliau berkata, wanita adalah penanggung beban apabila berlaku masalah seperti kepincangan rumah tangga.

“Bila berlaku perceraian, kita tahu yang selalu terpaksa tanggung untuk jaga anak-anak adalah wanita dan selalu keadaan ini membawa kedaifan melampau.

“Ramai kurang tahu bahawa selepas banjir kuning 2014-2015 berlaku pula banjir pasang besar pertengahan 2015.

“Kesannya sampai sekarang di mana rumah-rumah yang hilang atau tidak boleh digunakan lagi belum dapat diganti dan bila kita melawat, wanita adalah penanggung beban yang teruk,” katanya.

Justeru kata beliau yang juga seorang peguam, perjuangan menuntut keadilan perlu diperkukuhkan.

“Kita amat sedih bila harta rakyat seweang-wenang dibolot pembesar negeri dan negara sedang mereka yang benar-benar memerlukan terbiar dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Meskipun pahit katanya, usaha menegakkan keadilan dan membongkarkan tindakan zalim penguasa dalam mengendalikan harta rakyat perlu diteruskan tanpa henti.

“Kita mahu keadilan sehingga rakyat benar-benar dapat merasai keadilan memang dilaksanakan dan mereka mendapat hak dalam segala segi.

“Sebagai penggerak parti Amanah kita tidak perlu menunggu jadi pemerintah untuk laksanakan semua usaha ini, kita telah dan akan teruskan peduli dan bela rakyat sekarang,” katanya.

TAGS