Wanita BN mahu calon wanita pada PRN Sarawak

Wanita BN mahu calon wanita pada PRN Sarawak

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN) mahukan lebih ramai calon wanita diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 nanti.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata hasil perbincangan bersama Ketua-ketua Pergerakan Wanita parti komponen BN Negeri mereka memaklumkan ada mempunyai calon wanita yang sesuai.

“Semalam kita telah minta kepada Ketua Menteri (Tan Sri Adenan Satem) selaku Pengerusi BN Negeri dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta tiga lagi Presiden Parti iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mempertimbang untuk menampilkan calon wanita pada PRN nanti.

“Mana yang tidak ada calon wanita masanya sudah tiba untuk ketengahkan calon wanita dan parti yang sudah ada calon wanita kalau boleh untuk tambah lagi bilangan tersebut,” katanya.

Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO bercakap dalam sidang media ketika menghadiri Majlis Berambeh Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Kampung Sungai Buloh di sini hari ini.

Turut hadir semua 12 ketua Pergerakan Wanita Parti Komponen BN, manakala Ketua Pergerakan Wanita PBB diwakili oleh Anggota Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri.

Sementara itu, Shahrizat berkata secara dasarnya Pergerakan Wanita BN Sarawak sudah bersedia menghadapi PRN ke-11 kerana persiapan sudah lama dibuat sebaik PRN ke-10 lalu.

“Saya rasa ini petanda baik dan Insya Allah apabila DUN (Dewan Undangan Negeri) dibubarkan, jentera Wanita BN Negeri telah bersiap sedia,” katanya.

TAGS