Wanita Melayu Singapura cemerlang terima pengiktirafan

Wanita Melayu Singapura cemerlang terima pengiktirafan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pewarta Bernama di Singapura, Massita Ahmad berkongsi kisah hidupnya di Republik itu:

Sebagai orang Melayu, saya berasa sungguh bangga melihat orang Melayu di Singapura yang cemerlang diberi pengiktirafan.

Kejayaan mereka membuktikan bahawa orang Melayu juga boleh “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan kaum lain dalam persekitaran yang sengit persaingannya.

Pengiktirafan pertama adalah untuk Zuraidah Abdullah, 54, seorang polis wanita yang berpangkat Penolong Kanan Pesuruhjaya (SAC). Beliau juga adalah pengerusi Yayasan Warisan Melayu.

Zuraidah, orang Melayu pertama menyertai Pasukan Polis Singapura (SPF) menerusi program kemasukan langsung tiga dekad lepas menerima Anugerah Jauhari Berita Harian yang disampaikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa lepas.

Anugerah itu sebagai mengiktiraf kepimpinan berkhidmat untuk negara serta dedikasinya membantu masyarakat orang Islam yang kurang bernasib baik.

Anugerah tahunan itu dianjurkan akhbar harian Berita Harian (Singapore Press Holdings).

Ia bertujuan memberi pengiktirafan kepada individu Melayu dan yang beragama Islam terhadap pencapaian mereka dalam bidang masing-masing sama ada pendidikan, perniagaan, seni dan budaya, sukan, profesyen atau kerja sosial.

Ia yang diperkenalkan sejak 18 tahun lepas juga dibuka untuk pertubuhan.

Panel hakim menilai calon berdasarkan ciri-ciri termasuk ketabahan, tekad, integriti serta kemampuan mengatasi cabaran.

Paling utama, penerima anugerah perlu menjadi contoh teladan untuk masyarakat Melayu dan yang beragama Islam di Singapura.

Zuraidah, graduan Institut Teknikal Nanyang menyertai SPF 30 tahun lepas dan adalah wanita Melayu pertama dan wanita keenam menyertai pasukan polis itu menerusi program kemasukan langsung.

Di bawah program itu, graduan universiti terus menyandang jawatan pegawai kanan.

Kecemerlangan Zuraidah membolehkan beliau dinaikkan pangkat ke jawatan kanan termasuk Komander Bahagian Polis Lapangan Terbang, Komander Bahagian Polis Jurong, Komander, Bahagian Perintah Latihan serta Ketua Operasi Bahagian Polis Pusat.

Pada tahun 2013, Zuraidah mencatat satu lagi kecemerlangan apabila dinaikkan pangkat dan menjadi wanita pertama menyandang jawatan SAC dalam SPF.

Dari tahun 2007 hingga 2009, Zuraidah dipinjamkan ke Yayasan Mendaki, kumpulan untuk masyarakat orang Melayu/beragama Islam.

Semasa dengan yayasan itu, beliau mendapati strategi utama untuk membantu keluarga Melayu/beragama Islam yang mempunyai masalah adalah dengan memastikan anak mereka bersekolah dan menikmati proses pembelajaran.

Beliau mendapat bantuan 80 profesional muda daripada pelbagai bidang untuk mencari kaedah memperbaiki pencapaian pelajar serta menangani keluarga yang bermasalah.

Antara inisiatif lain Zuraidah ialah bengkel Matematik serta PSLE (Peperiksaan Akhir Sekolah Rendah) untuk membantu kumpulan pelajar yang lemah.

Zuraidah adalah wanita pertama dalam tempoh empat dekad dilantik sebagai anggota Majlis Hal Ehwal Singapura (MUIS), untuk membantu hal ehwal urusan orang Islam di Singapura.

Beliau menerima anugerah Tokoh Wanita Her World pada tahun 2015.

Mengulas mengenai anugerah itu, Zuraidah berkata: “Kerja dalam pasukan polis adalah amat mencabar sehinggakan terlalu sedikit masa untuk kehidupan sendiri. Bagi saya berkhidmat dengan Yayasan Mendaki memberi saya peluang untuk menyumbang kepada masyarakat saya.

“Banyak yang saya pelajari semasa dengan yayasan itu. Pengalaman itu paling berharga buat saya dan gembira kerana saya dapat memberi sumbangan. Itu sebabnya mengapa saya terus melakukan kerja sukarelawan dengan Yayasan Warisan Melayu.”

Sementara itu, Pengarang Berita Harian Mohd Saat Abdul Rahman berkata: “Berita Harian meraikan Zuraidah bukan sahaja kerana pencapaian beliau sebagai pegawai polis wanita berpangkat tinggi dalam SPF tetapi juga sumbangan besar kepada masyarakat di sebalik jadual kerja yang sibuk.

“Beliau banyak memberi inspirasi kepada masyarakat untuk lebih maju dan berjaya. Beliau juga contoh teladan wanita kerjaya bagi masyarakat Melayu/beragama Islam.”

Perdana Menteri Lee yang menjadi tetamu kehormat pada Majlis itu turut menyampaikan Anugerah Jauhari Harapan 2016 kepada Sheik Farhan Sheik Alau’ddin, 18, seorang juara silat dunia.

Anugerah itu mengiktiraf anak muda Melayu/beragama Islam Singapura berusia bawah 30 tahun.

Sheik Farhan memenangi pingat emas tunggal Singapura pada Kejohanan Pencak Silat Dunia 2015 yang berlangsung di Phuket.

Pada bulan Jun 2016, beliau juga memenangi pingat emas bagi Kelas J (90-95kg) pada Kejohanan Pencak Silat Asia yang diadakan di Singapura.

TAGS