Wanita PH sokong, akan turun ke himpunan bantah politik toksik

Wanita PH sokong, akan turun ke himpunan bantah politik toksik

Wanita Pakatan Harapan (Wanita Harapan) menyokong dan akan bersama dalam Himpunan Aman "Wanita Bantah Politik Toksik" anjuran sekumpulan aktivis wanita berpengaruh yang menggelarkan diri mereka Wanita-Wanita Malaysia Prihatin.

Himpunan itu akan diadakan pada 10 September ini di Kuala Lumpur untuk menyatakan penolakan terhadap politik toksik.

“Wanita Harapan percaya bahawa usaha yang baik ini merupakan satu mesej jelas yang dilontar oleh entiti wanita Malaysia bahawa kita menolak apa jua wajah, gaya dan cara politik bangkrap nilai yang kini semakin parah menyelubungi negara,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu atas nama Ketua Wanita Harapan Zuraida Kamaruddin yang juga Ketua Wanita PKR; Timbalan-timbalan Ketua Wanita, Chong Eng yang juga Ketua Wanita DAP; Ketua Wanita AMANAH Dr Siti Mariah Mahmud; dan Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Rina Mohd Harun.

Menurut mereka, usaha memerangi politik toksik khususnya oleh kalangan wanita yang tugas hakikinya sebagai pendidik dan membangunkan manusia adalah satu tindakan tepat dan bertanggungjawab.

Usaha ini bukan sahaja untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat bahkan penting dan sangat relevan dalam memastikan penyediaan sebuah negara yang lebih baik untuk generasi akan datang.

{loadposition myposition}

Walau bagaimanapun, kata mereka, perjuangan ini bukan hanya terletak di atas bahu wanita sahajatetapi semua rakyat Malaysia, lelaki dan wanita, daripada pelbagai kaum, agama serta latar belakang politik yang berbeza harus bersama, berganding tenaga membantah sekaligus memerangi politik toksik.

“Toksik adalah fenomena beracun yang sangat berbahaya kepada kesihatan bahkan upaya mengundang kematian.

“Ia boleh merebak ke setiap ruang sama ada pada diri individu, masyarakat sekaligus seluruh tanahair yang kita cintai ini.

“Justeru, mengangkat ketoksikan politik adalah sangat tepat pada masanya. Rakyat harus segera diperingatkan akan bahaya politik toksik yang berupa pelbagai tindakan keganasan, ancaman terhadap individu, ucapan-ucapan penuh rasis, seksis, lucah, pengaiban sekaligus perlecehan terhadap individu wanita dan kebencian sesama,” kata mereka.

Perhimpunan itu akan bermula pada jam 5 petang sehingga 6.45 petang dan peserta akan berkumpul di depan kompleks beli-belah Maju Junction sebelum berarak ke pusat membeli-belah Sogo.

Antara yang akan turut serta dalam himpunan itu ialah isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, bekas presiden Badan Beguam Datuk Ambiga Sreenevasan dan pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah.

Justeru, kata mereka, sebagai aksi solidariti Wanita Harapan, mereka akan turut serta dan menyeru seluruh wanita tanpa mengira kecenderungan politik agar turun menjayakan bantahan ini secara besar-besaran.

“Ini penting demi perjuangan dan kelangsungan peradaban dalam politik negara sebagai lambang keprihatinan kita semua tentang masa depan Malaysia,” kata mereka.

CATEGORIES
TAGS