Wanita PKR gesa kerajaan kutuk kekejaman Myanmar terhadap etnik Rohingya

Wanita PKR gesa kerajaan kutuk kekejaman Myanmar terhadap etnik Rohingya

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak kerajaaan memberikan peringatan dan mengutuk keras kekejaman yang dilakukan pihak berkuasa Myanmar ke atas ribuan masyarakat etnik Rohingya beragama Islam.

Ketua Penerangannya Sharifah Norhayati syed Omar berkata, etnik Rohingya di sana telah ditindas dan dizalimi dengan kejam yang mengakibatkan mereka meninggalkan kampung halaman bagi meneruskan kehidupan.

Pelbagai pihak seharusnya mengambil langkah segera dengan adil bagi menyelamatkan mereka yang tidak bersalah dan perkara ini dapat dibendung dengan sebaiknya.

“Saya mendesak kerajaan Malaysia prihatin dengan permasalahan global ini dengan segera memberikan peringatan keras terhadap kerajaan Myanmar di atas kezaliman yang berterusan ini.

“Kami menuntut pemimpin wanita negara itu, Aung San Suu Kyi bertindak lebih adil untuk membela nasib rakyat minoriti Islam di negara itu yang sering ditindas,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru Wanita PKR telah mengadakan himpunan aman dan menghantar memorandum kepada wakil keduataan Myanmar hari ini.

Memorandum ini mengutuk keras kekejaman ke atas umat Islam di Myanmar termasuk wanita dan kanak-kanak yang dibunuh serta dizalimi oleh tentera Myanmar.

Himpunan yang dihadiri lebih 100 ahli wanita itu turut disertai Ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin.

TAGS