Wartakan segera tanah wilayah adat Orang Asli

Wartakan segera tanah wilayah adat Orang Asli

Kerajaan Negeri Kelantan disaran mewartakan segera tanah wilayah adat Orang Asli dengan mengadakan rundingan bersama masyarakat berkenaan, tegas Pengerusi Penaja NGO Royalti (R) Malaysia, Hishamuddin Ghazali.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan Negeri Kelantan disaran mewartakan segera tanah wilayah adat Orang Asli dengan mengadakan rundingan bersama masyarakat berkenaan, tegas Pengerusi Penaja NGO Royalti (R) Malaysia, Hishamuddin Ghazali.

Menurutnya, langkah yang diharap menghasilkan keputusan positif bagi kedua-dua pihak itu perlu dilaksanakan jika kerajaan negeri jujur dan ikhlas dalam menangani tuntutan masyarakat Orang Asli bahagian hulu negeri tersebut.

Mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob seperti dilapor Harakahdaily, 18 Oktober lalu bahawa 2,200 ekar tanah dirizab untuk Orang Asli di Pos Gob, beliau menyifatkan tuntutan masyarakat setempat dan perjuangan pelbagai NGO sebelum ini adalah berasas.

“Mohon wartakan segera Tanah Wilayah Adat Orang Asli bukan sekadar nama kawasan rayau dan tempat mencari makan sahaja.

“(Seluas) 890.7 hektar atau 2,200 ekar sajakah? Bagaimana kawasan lain? Pos Tohoi, Pos Simpor, Pos Pasik dan banyak pos lain?” soalnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga dikenali sebagai Syam Ghaz berpendapat adalah lebih baik jika rundingan bersama masyarakat Orang Asli di Gua Musang diadakan bagi memperincikan banyak perkara penting.

“Di manakah lokasi yang dimaksudkan? Adakah kawasan sudah berlaku pembalakan sebelum ini? Bolehkah ia dibentangkan dalam Sidang Dun terdekat pada 23 dan 24 Oktober nanti?

“Kenapa jumlah kelulusan, lokasi yang dipilih, jumlah keluasan dan lain-lain tidak dibuat rundingan dengan Orang Asli di blockade, NGO, serta peguam?” ujarnya.

Sham turut mempersoalkan keluasan tanah yang diumumkan kerajaan negeri memandangkan terdapat lebih 40 kampung membabitkan kira-kira 2,000 penduduk.

Ujarnya, kerajaan negeri juga diminta menjelaskan sama ada aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah, HSK Gunung Stong Selatan, HSK Perias dan hutan-hutan simpan sekitar Lojing akan diteruskan.

“Adakah kelulusan ini untuk meredakan sementara tuntutan Orang Asli dan memberi laluan kepada syarikat pembalakan meneruskan aktiviti pembalakan sedia ada sekarang?

“Tidak bolehkah pembalakan dihentikan sepenuhnya? Jika ingin diteruskan mohon dapatkan segera Sijil MC & I (Natural Forest) yang digantung sebelum ini dengan melaksanakan Tebangan Terpilih, bukannya sistem tebangan habis seperti sekarang,” tegasnya lagi.

TAGS