Wartawan veteran Alex Fernandez meninggal dunia

Wartawan veteran Alex Fernandez meninggal dunia

Wartawan veteran Alex Fernandez, yang menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Ahad pada usia 87 tahun, akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kristian Cheras, esok.

Fernandez menyertai akhbar tabloid, The Malay Mail, sebagai pemberita ketika berusia 21 tahun pada 1950.

Beliau berkhidmat dengan akhbar petang itu selama 14 tahun, sebelum menjadi warga RTM apabila stesen penyiaran itu menubuhkan rangkaian televisyen pertamanya.

Ketika hayatnya, beliau bercerita bahawa pada petang menjelang Merdeka, para editor di The Malay Mail memberi tugasan kepadanya supaya membuat tinjauan mengenai keterujaan dan persepsi rakyat tempatan tentang kelahiran sebuah negara berdaulat.

Tugasan itu memerlukan Fernandez merayap ke merata jalan di Kuala Lumpur untuk bertemu orang ramai bagi mendapatkan pandangan mereka.

“Kegembiraan terpamer di mana sahaja, kebanyakan orang gembira melihat negara mereka bebas daripada belenggu penjajah seperti negara Komanwel lain dan mereka yakin dengan masa depan negara ini,” katanya dalam temu bual terakhir dengan Bernama pada Ogos tahun lepas untuk penulisan cerita mengenai Merdeka.

Ketika bersama The Malay Mail dan RTM, Fernandez sering bertemu muka dengan tokoh utama negara ketika itu – Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Siew Sin, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan sebagainya.

Bagaimanapun, kata Fernandez, harta yang paling berharga baginya ialah foto beliau bersama Tunku, yang turut dipamerkan di bilik Paul Miki di Gereja Saint Francis Xavier di Jalan Gasing, Petaling Jaya, tempat jenazahnya diletakkan untuk diberi penghormatan terakhir.

Fernandez mengimbau kembali suatu kisah di mana seorang pemberita terkeluar kata-kata bahawa Tunku memakai baju lama. Mendengar komen itu, Tunku terus menunjuk ke arah isteri beliau, yang duduk bertentang dengannya dan berkata secara bergurau: “Saya memang suka kekalkan barang-barang lama, lihat sajalah isteri saya tu.”

Satu lagi peristiwa yang kekal di ingatan Fernandez ialah sidang akhbar yang diadakan Tan, menteri kewangan ketika itu.

Beliau dan beberapa pemberita lain tiba awal di venue itu dan ketika menunggu sidang akhbar itu bermula, mereka terdengar Tan mengadakan perbincangan secara tidak rasmi secara tertutup dengan para pegawai kementeriannnya mengenai pembinaan sebuah kilang getah bernilai RM10 juta di Melaka.

Walaupun Tan tidak menyentuh tentang kilang itu pada sidang akhbar berkenaan, semua pemberita menulis mengenainya, kecuali Fernandez, yang hanya menulis tentang apa yang Tan ucapkan (pada sidang akhbar itu).

Esoknya, para editor meminta Fernandez memberi sebab kenapa beliau terlepas berita besar mengenai kilang itu, tetapi beliau bertegas dengan pendiriannnya bahawa ia adalah perbincangan tidak rasmi dan tidak disebut pada sidang akhbar.

Beberapa hari kemudian, Tan menyangkal laporan tentang pembinan kilang itu dan menghantar surat pujian sebab The Malay Mail bertindak betul kerana hanya melaporkan perkara yang diucapkan pada sidang akhbar berkenaan sahaja.

Setelah bersara daripada RTM pada 1984, beliau bertugas pula dengan agensi berita AFP di Malaysia dan PRWire Bernama, yang kemudiannya dikenali sebagai Media Relations and Event Management selama beberapa tahun, sebelum bersara pada 1999.

Fernandez meninggalkan seorang balu, Erlinda Ciervo Miguel dan dua anak perempuan.

Upacara pengurusan jenazah akan diadakan pada 11 pagi di Gereja Our Lady of Fatima, Brickfields, esok.

Wartawan hebat tidak mati, mereka hanya menghilang.

TAGS