Wawasan 2020 tidak tercapai, inikan pula TN50

Wawasan 2020 tidak tercapai, inikan pula TN50

Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuffin Abdullah bersama tiga parti gabunganan itu diwakili Datuk Johari Abdul (PKR), Salahuddin Ayub (Amanah) dan Anthony Loke (DAP) mengeluarkan kenyataan bersama hari ini, yang menekankan kepada perancangan dan hala tuju Tranformasi Nasional 2050 (TN50).

 Pakatan Harapan berpandangan TN50  akan gagal mencapai matlamatnya sebagaimana Wawasan 2020 (W2020).

” Kegagalan utama apabila negara masih lagi tidak bersatu disebabkan diskriminasi perkauman.

“Malah Malaysia juga gagal mewujudkan demokrasi yang matang, terutama ketelusan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta tekanan kepada media bebas.

“Ini menimbulkan persoalan adakah TN50 hasil idea PM Najib akan mampu dicapai setelah hampir gagalnya W2020?

“Pakatan Harapan tidak mempunyai keyakinan yang tinggi ke arah itu, yang mana rakyat juga boleh melihat isi di dalam forum-forum TN50 yang membuktikan Malaysia gagal menyediakan kelengkapan asas untuk membentuk negara maju.

“Sebagai contoh, pemulihan sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak serta kelengkapan kemudahan elektrik dan air bersih yang sepatutnya telah ditangani oleh kerajaan sejak sedekad lalu.”

 Pakatan Harapan berpendapat Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak,  tidak boleh menjadikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagai bukti pencapaian pentadbirannya.

Pakatan Harapan  merujuk kepada  laporan The Edge berhubung pendapatan setiap rakyat Malaysia yang telah jatuh sebanyak 15% daripada AS$10,345 pada tahun 2013 kepada AS$ 8,821 pada 2016 yang mana keadaan ini, menunjukkan seolah-olah negara telah gagal untuk mencapai Wawasan 2020 yang akan tiba dalam masa 3 tahun lagi.

“Keadaan ekonomi Malaysia jelas tidak mampu untuk membahagiakan semua orang terutamanya apabila jurang miskin-kaya di negara ini masih lebar (sekitar 0.46 berdasarkan petunjuk GINI Coefficient) yang hanya melihatkan golongan kaya terus menjadi kaya, manakala rakyat bawahan semakin miskin.

“Sedangkan nisbah secara perbandingan, pendapatan rakyat Malaysia berdasarkan KDNK hanya sekitar 26% berbanding rakyat Singapura sebanyak 49%.

“Bagi kami, selagi mana masih banyak rakyat Malaysia yang hidup dalam keadaan sukar ekoran kos sara hidup tinggi serta kenaikkan gaji yang terlalu kecil maka kerajaan dianggap gagal dalam memberi kemakmuran kepada rakyat,” ujar kenyataan itu.

Selain itu, Pakatan Harapan juga merasakan pentadbiran perdana menteri telah gagal mengatasi 9 cabaran Wawasan 2020 sebagaimana digariskan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebelumnya.

Justeru tegas kenyataan itu lagi, Pakatan Harapan sangat mengambil berat hala tuju negara yang tidak dirancang dengan baik.

“Bagi kami, rakyat juga seharusnya memainkan peranan dan perlu prihatin dengan keadaan semasa, kerana hari ini menentukan nasib negara untuk 3, 10 dan 30 tahun akan datang.

“Oleh itu, Pakatan Harapan akan mengumumkan Manifestonya tidak lama lagi yang akan menekankan rancangan jangka masa panjang rakyat dan negara.” ujar kenyataan itu.

Sebagai rekod TN50, yang diilhamkan Perdana Menteri dan dicetuskan dalam Bajet 2017 pada Oktober tahun lalu, dikatakan sebagai sebuah gagasan baharu buat Malaysia menjelang 2050.

Pada Disember 2016 lalu Perdana Menteri dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam Sesi Dialog Perdana Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Universiti Malaya.

TN50 adalah satu visi yang akan digalas anak muda, dipacu Kementerian Belia dan Sukan bagi melihat Malaysia berkembang pesat sebagai negara maju mengikut acuan dan pemikiran jitu anak muda Malaysia dengan identiti negara bangsa; Bangsa Malaysia.

 

TAGS