WSJ sekali lagi pertahan berita dakwa Putrajaya buat pusingan U

WSJ sekali lagi pertahan berita dakwa Putrajaya buat pusingan U

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pelantikan Datuk Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia baru berkuat kuasa 1 Mei ini menyerlahkan kegagalan laporan oleh The Wall Street Journal (WSJ).

Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad dalam kenyataannya berkata, pembohongan serta langsung tidak mempedulikan fakta oleh WSJ hari ini sekali lagi terbukti.

“WSJ yang melaporkan sebagai fakta buat beberapa kali, termasuk oleh Ken Brown pada 20 April dan Tom Wright pada 11 Mac, bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melantik Tan Sri Irwan Serigar Abdullah sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia yang baharu dan beliau dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Ini dilakukan di sebalik tiada pengumuman telah dibuat, dan berdasarkan sumber yang tidak mahu dikenali,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kata Tengku Sariffuddin lagi, ramai yang percayakan laporan WSJ kerana mereka tidak sedar bahawa WSJ telah secara sukarela membenarkan ia digunakan sebagai alat oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi ‘Kempen Anti-Najib’, dengan tajuk yang sensasi.

“Tanggungjawab paling asas bagi mana-mana wartawan ialah perlu mengesahkan fakta, lebih-lebih lagi jika dakwaan itu serius dan daripada lawan politik.

“Tetapi WSJ berterusan melaporkan pembohongan sebagai fakta daripada sumber tidak mahu dikenali. Mereka mengaibkan bidang kewartawanan. Sepertimana dibuktikan sekali lagi hari ini, rakyat Malaysia tidak boleh percayakan apa-apa sahaja yang mereka katakan,” katanya dipetik Astro Awani.

Muhammad Ibrahim akan memulakan tugasnya pada 1 Mei selepas Zeti bersara pada akhir bulan ini.

Bagaimanapun, lapor Malaysiakini hari ini, akhbar harian Amerika Syarikat itu dalam satu laporan hari ini mendakwa keputusan untuk melantik Muhammad Ibrahim dan bukannya Irwan adalah pusingan-U yang dibuat akibat tekanan.

“Peralihan ini dibuat selepas Zeti, yang meletak jawatan pada akhir bulan ini, menuntut kerajaan melantik seseorang dari Bank Negara untuk menggantikannya, menurut sumber yang rapat dengan perkara itu.

“Percubaan untuk menghubungi Zeti tidak berjaya. Pejabat Perdana Menteri tidak menjawab berhubung permohonan untuk mendapatkan ulasan,” tulis WSJ.

TAGS