YaPEIM belanja RM3.5 juta untuk Lembaga Pemegang Amanah sahaja setahun

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tindakan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) mengambil 25% dari sumbangan pencarum untuk kos pengurusan dan dijadikan sebagai pendapatannya disifatkan satu yang tidak wajar.

Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Nasional (NOW), Akmal Nasir juga berkata, perbelanjaan RM2.5 hingga RM3.5 juta setahun untuk Lembaga Pemegang Amanah sahaja adalah terlalu besar untuk badan yang mahu meningkatkan ekonomi umat Islam itu.

Akmal mendedahkan perkara ini pada forum pertama dalam siri jelajah penerangan mengenai skandal YaPEIM ke seluruh negara yang bermula malam tadi.

Akmal NasirBagi beliau, seramai 588,930 pencarum yang memberikan wang untuk amal jariah kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) perlu mengetahui sejauh mana sumbangan yang diberi itu sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.   Akmal berkata, sebanyak 25 peratus sumbangan pencarum YaPEIM dikira sebagai pendapatan YaPEIM seperti boleh diketahui apabila merujuk Penyata Kewangan Tahunan yayasan itu.

“Saya ambil daripada belanjawan YaPEIM sendiri bagi tahun 2014 dan 2015 supaya kita nampak perbandingan. Antara isu dimainkan, sumbangan orang ramai tidak digunakan. Soalnya, betulkah wang sumbangan 100 peratus dapat pada golongan sasaran? Adakah sumbangan amal jariah dimasukkan dalam pendapatan?

“Pemerhatian saya pada penyata kewangan di bahagian pendapatan didapati ada Pendapatan Perkhidmatan Skim yang merupakan 25 peratus caj perkhidmatan skim mengikut polisi amal jariah.

“Maksudnya, 25 peratus (sumbangan amal jariah pencarum) diambil awal-awal untuk pengurusan YaPEIM. Itu dalam penyata kewangan. Maksudnya wang sumbangan tadi diambil 25 peratus masuk dalam pendapatan YaPEIM. Ini bermakna sumbangan pencarum YaPEIM dikira sebagai pendapatan YaPEIM,” jelasnya malam tadi.

Akmal juga mendedahkan maklumat berkenaan perbelanjaan Pemegang Amanah YaPEIM bagi tahun 2012 sehingga 2015 juga berdasarkan dokumen penyata kewangan tahunan berkenaan yang menyaksikan peningkatan luar biasa.

“Belanja Lembaga (Pemegang Amanah YaPEIM) untuk Disember 2012, jumlah perbelanjaan adalah RM498,725 setahun. Masuk tahun 2013, perbelanjaan untuk Lembaga Amanah adalah RM655,316. Tahun 2014 pula, perbelanjaan yang sama ialah RM2.6 juta dan anggaran tahun 2015 ialah RM3.5 juta.

“Peningkatan perbelanjaan YaPEIM untuk Lembaga Pemegang Amanah naik tujuh kali ganda. Kalau perbelanjaan sampai RM3.5 juta, ini mengarut sangatlah,” bidasnya di hadapan lebih 50 pendengar di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), dekat stesen monorel Maharajalela itu.

Pada masa sama, beliau mendedahkan butiran elaun yang dilihat tidak munasabah berdasarkan status YaPEIM sebagai institusi yang kononnya membangunkan ekonomi masyarakat Islam di negara ini seperti Elaun Khas Penandatangan, Elaun Jamuan dan Keraian dan Elaun Perhubungan yang masing-masing mencecah angka puluhan ribu ringgit setahun.

“Dari segi moralnya apa? Kalau dari RM498,725 pada tahun 2012 boleh mencecah RM3.5 juta (tahun 2015), bagi saya kasihanlah pada pencarum-pencarum yang berpendapatan biasa atas dasar amal jariah tapi pemegang lembaga amanah dapat keuntungan yang begitu tinggi.

“Sebagai pencarum kita patut teliti dulu, baru bagi duit. Kalau ada yang  jawab polisi membenarkan, tapi isunya, pencarum tidak tahu. Jadi macam mana hendak memastikan kebajikan pencarum dan niat pencarum sampai?

“Di sini menimbulkan satu persoalan baru dari segi ketelusan, bagaimana hendak menjelaskan kepada orang ramai. Kita sebelum ini menderma dengan niat baik, ikhlas, tidak mahu tanya, tapi rupanya derma kita mungkin tidak sampai,” ujarnya lagi.

Akmal turut menekankan isu paling penting dalam skandal YaPEIM bukan sekadar soal gaji yang terlalu mewah dinikmati individu tertentu dalam Lembaga Pemegang Amanah.

“Isu paling besar daripada itu ialah bagaimana apabila individu yang sama memegang jawatan-jawatan penting dalam YaPEIM, ke mana perginya akauntabiliti?

“Contohnya, Wanita Umno Kelantan, Datuk Zaleha. Dia Timbalan Presiden (YaPEIM) juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah. Dia juga duduk dalam ‘board’ syariah YaPEIM. Mengikut sumber juga, dia juga duduk bagi peringkat audit. Mana perginya akauntabiliti kalau orang yang sama pegang audit, syariah dan lembaga pemegang amanah?” soalnya.

Mengakui maklum balas menggalakkan daripada orang ramai terutama pencarum selepas beberapa siri pendedahan NOW sebelum ini, Akmal berkata, pihak yang terbabit bukan sahaja tidak menjawab perkara-perkara dibangkitkan tetapi dilihat tidak menunjukan rasa keinsafan terhadap teguran yang dibuat.

“Saya mendapat banyak maklumbalas daripada pencarum kebanyakan guru-guru dan anggota polis. Ketika saya buat laporan polis di Dang Wangi, (saya) macam ‘superstar’. Masuk dalam tu semua (anggota polis) bersalam ucap terima kasih. Ada yang mendakwa mencarum sudah 20 tahun sejak latihan di Pulapol lagi,” ceritanya lagi.

TAGS