Yuran mahal bukan isu ganti baucar buku dengan kad debit, kritik mahasiswa

Yuran mahal bukan isu ganti baucar buku dengan kad debit, kritik mahasiswa

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Mahasiswa menyifatkan Bajet 2017 berkaitan aspek bantuan pelajar pendidikan tinggi gagal untuk menangani masalah sebenar yang mereka hadapi. 
 
Penuntut Universiti Malaya (UM), Anis Syafiqah Md Yusof berkata, isu yuran pengajian yang membebankan mahasiswa mungkin sedikit sebanyak terkesan disebabkan oleh pemotongan bajet universiti sebanyak RM 8.7 bilion kepada RM 7.3 bilion iaitu pemotongan berjumlah RM 1.4 bilion dalam Bajet 2016 lalu.
 
“Masalah sebenar mahasiswa bukannya selesai hanya gantikan baucar buku dengan kad debit. Nilainya tetap sama seperti sebelum ini iaitu RM250.
 
“Masalah utama penuntut universiti kini adalah yuran yang mahal dan tidak selaras antara kesemua universiti awam (UA),” ujarnya kepada Malaysia Dateline. 
 
Beliau yang juga aktivis pelajar dalam kempen Tangkap Malaysian Official 1 berpendapat belanjawan kerajaan sepatutnya memastikan peruntukan kepada 20 UA tempatan benar-benar bermanfaat kepada mahasiswa. 
 
“Pembentangan bajet kali ini peruntukan pendidikan tinggi bagi 20 universiti awam dinaikkan daripada RM 7.3 bilion pada 2016 kepada RM 7.4 bilion untuk tahun depan. 
 
“Mengapa tidak kerajaan mempertimbangkan kadar yuran yang standard dan berpatutan bagi universiti-universiti awam?” soalnya lagi.
 
Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2017 semalam menyebut penggantian baucar buku kepada kadar debit pelajar dapat dimanfaatkan 1.3 penuntut.
 
Bantuan sebanyak RM250 itu merangkumi pembelian buku, alat tulis, alatan komputer dan akses internet.
 
Pemotongan peruntukan pada belanjawan sebelum ini mengakibatkan universiti tempatan tertentu dilapor menaikkan yuran pengajian peringkat Ijazah Dasar, Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) antara 12 sehingga 72 peratus bagi kemasukan sesi tahun ini.
 
Bahkan, kenaikan tersebut belum lagi termasuk yuran kolej kediaman dan lain-lain. 

TAGS