Yuran pengajian IPTA naik, poket siswa kering

Yuran pengajian IPTA naik, poket siswa kering

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Langkah kerajaan memotong peruntukan untuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Bajet 2015 mendorong universiti tempatan menaikkan kadar yuran pengajian sekaligus memindahkan bebanan kewangan kepada pelajar.

Sehubungan itu Pemuda Amanah Nasional menggesa kerajaan supaya menyemak semula dan memberikan suntikan tambahan kepada bajet pendidikan agar dapat meringankan beban mahasiswa.

Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, langkah tersebut perlu memandangkan sektor pendidikan adalah aset penting pembinaan sebuah negara maju dan masyarakat madani.

“Saya bimbang poket mahasiswa yang kekeringan akan menjejaskan fokus dan mutu pembelajaran dan kemungkinan mereka terpaksa bekerja separuh masa tidak dapat dielak,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak memotong bajet pendidikan sebanyak RM2.4 bilion telah mula menunjukkan kesan kepada perbelanjaan mahasiswa.

“Potongan bajet ini sudah pasti menyebabkan institusi-institusi pengajian tinggi kekurangan sumber kewangan yang akhirnya beban kewangan ini berpindah ke atas poket mahasiswa.

“Walaupun Menteri Pendidikan Tinggi dan Timbalan Perdana Menteri pada 5 Disember 2015 memberikan jaminan tiada kenaikan yuran pengajian akan berlaku, namun saya daripada awal meragui jaminan yang tidak konkrit dan tidak logik ini,” tegasnya.

Menurutnya, kerungsingan tersebut menjadi kenyataan apabila institusi-institusi pengajian tinggi awam didapati menaikkan yuran pengajian bagi sesi 2016/2017 mulai September tahun ini.

“Sebagai contoh, yuran pengajian Fakulti Sains Sosial, Universiti Kebangsaan Malaysia bagi sesi kemasukan baru pra-siswazah meningkat dari RM1870 kepada RM2090.

“Bagi program Sarjana pula meningkat dari RM1720 kepada RM2965 dan peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pula meningkat daripada RM2120 kepada RM3425. Ini tidak termasuk lagi yuran kolej kediaman dan lain-lain yang juga turut dinaikkan,” dedahnya.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, kesukaran mahasiswa untuk membayar yuran pengajian tersebut pasti bertambah lagi dengan keputusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memotong pinjaman pelajar.

Sehubungan itu, beliau berpendapat Najib pasti disanjung sebagai Robin Hood alaf baru sekiranya bertindak tegas ke atas Malaysian Official 1 (MO1) yang dinyatakan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS), 20 Julai lalu.

“Alangkah meriahnya sambutan kemerdekaan negara tahun ini jika Perdana Menteri dapat bertindak tegas dan segera mengarahkan MO1 memulangkan RM2.6 bilion yang dirompaknya untuk diagihkan kepada setiap institusi pengajian tinggi,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, KPT dalam Bajet 2016 menerima peruntukan RM13.378 bilion berbanding RM15.785 bilion pada Bajet 2015 iaitu pengurangan sebanyak RM2.4 bilion.

Bajet 2016 itu juga menyaksikan universiti awam (UA) mengalami pemotongan peruntukan antara 10 hingga 20 peratus, berbanding tahun 2015.

TAGS