Zunar akan pamerkan kartun untuk rakyat pada 3-10 September ini

Zunar akan pamerkan kartun untuk rakyat pada 3-10 September ini

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kartunis politik Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque  akan mengadakan pameran di Amcorp Mall dari 3-10 September ini dengan tema kartun untuk Rakyat betajuk “Kartun Zunar@rt PJ”.

Beliau banyak mempamerkan karya-karya beliau yang fokus kepada membongkar korupsi, salah laku dan kezaliman pihak pemerintah.

Pada 10 Feb 2015, beliau ditangkap dan dimasukkan ke lokap selama tiga hari dan di dakwa ke mahkamah atas sembilan tuduhan di bawah Akta Hasutan kerana mengritik kerajaan dan hakim. Hukuman maksima untuk semua kesalahan ini adalah 43 tahun penjara.

Sebelum itu, pada September 2010, beliau juga pernah ditangkap di bawah undang-undang yang sama.

Selain itu, kerajaan pernah mengharamkan tujuh buku kartun beliau. Pejabat beliau sering diserbu dan ribuan buku kartun dirampas.
Pembantu jualan dan pengendali laman web beliau juga ditangkap dan disiasat Pengilang dan pekedai di seluruh Malaysia diugut supaya tidak mencetak dan menjual buku-buku kartun beliau.

Katanya setelah beberapa tahun beliau mengadakan pameran di luar negara seperti di British Cartoon Museum, Malmo (Sweden), Bilbao (Spain), Paris, Kentucky (US) dan Geneva, sudah tiba masanya beliaumengadakan pameran serupa di negara sendiri.

“Saya dengan ini mengumumkan pameran khas di Malaysia dengan tema – Kartun Untuk Rakyat dan bertajuk “Kartun Zunar @rt PJ.

“Dengan konsep “Kartun Untuk Rakyat” bererti karya-karya tersebut tidak akan dipamer di dalam galeri atau dalam dewan pameran, sebaliknya akan diadakan di atas padang terbuka.

“Manakala pameran pameran di tempat tertutup boleh menarik peminat dan penggemar seni, pameran di luar boleh memberi lebih banyak ruang akses kepada orang ramai.

“Dengan lain perkataan, pameran dalam galeri mengundang anda ke sana, sedangkan pameran di luar datang kepada anda. Konsep ini amat sesuai dengan objektif saya sebagai kartunis – untuk memberi informasi alternatif, pendirian, hala tuju dan jenaka kepada orang ramai melalui karya-karya saya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Pameran mesra rakyat seumpama ini ujarnya lagi, lebih berkesan dan akan memberi labih banyak impak untuk negara seperti Malaysia.

“Stail ini adalah inspirasi dari pameran terbaru saya di Geneva yang diadakan sepanjang tasik Lac Leman yang dianjur oleh Yayasan Cartooning For Peace.

“Sebanyak 20 karya-karya terbaik saya akan dicetak diatas billboard besar dan akan dipamer di pameran tersebut. Subjek-subjek termasuk tafsiran dan pandangan saya mengenai Skandal 1MDB, GST, Merdeka, Akta Hasutan, PM dan isteri, rasuah serta konspirasi terhadap Anwar Ibrahim

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor, Selangor Tourism, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan ahli-ahli Kumpulan Kartunis Independen (KKI) atas sokongan mereka untuk pameran,” terangnya.

Semua dijemput untuk hadir di majlis pelancaran pada 3 September jam 5 petang di tapak pameran tersebut. Perasmian akan disempurnakan oleh Ahli Exco Kerajaan Negeri, Elizabeth Wong.

Antara lukisan yang akan dipamerkan oleh Zunar dalam pameran kartun untuk rakyat  yang akan dirasmikan oleh Exco Elizabeth Wong.

TAGS