Zunar dibebaskan dengan jaminan polis

Zunar dibebaskan dengan jaminan polis

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kartunis politik Zulkiflee Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar bersama empat individu lain yang ditahan polis dalam sebuah majlis kutipan dana petang semalam, dibebaskan tengah malam tadi.

Beliau dibebaskan dengan jaminan polis selepas disoal siasat hampir enam jam.

“Saya perlu melaporkan diri di balai polis pada 30 Disember 2016,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Petang semalam, Zunar ditahan ketika menghadiri majlis “Minum Petang Bersama Zunar” di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Majlis minum petang diadakan bagi mengumpul dana untuk kartunis yang mengalami kerugian selepas polis merampas karya mereka di Pulau Pinang tiga minggu lalu.

Ini adalah kali kedua beliau ditahan dalam tempoh kurang sebulan.

Pada 26 November lalu, Zunar ditahan di Pulau Pinang kerana menjejaskan keamanan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan, susulan perbalahan di pameran lukisannya, di mana kira-kira 30 ahli Pemuda Umno Pulau Pinang menuntut beliau menurunkan karyanya.

Mereka mendakwa lukisan Zunar menyinggung perasaan dan memberi gambaran buruk kepada perdana menteri serta pemimpin negara lain.

Selain Zunar, aktivis sivil Lawrence Jeyaraj, ahli DAP Jimmy Wong dan dua jemputan lain turut ditahan polis semalam dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

TAGS