Zunar fail permohonan cabar larangan ke luar negara

Zunar fail permohonan cabar larangan ke luar negara

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kartunis Zulkifli SM Anwarul Haque atau Zunar hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mencabar sekatan perjalanan ke atasnya oleh Jabatan Imigresen.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Zunar memohon mahkamah mengeluarkan perintah larangan itu tidak sah, dan menamakan ketua pengarah Jabatan Imigresen, menteri dalam negeri dan kerajaan sebagai responden terhadap semakan kehakiman itu.

Zunar juga mahu perintah mahkamah mengisytiharkan larangan itu melanggar hak perlembagaannya dan ketiga-tiga responden bertindak di luar batas kuasa mereka dalam mengenakan larangan itu.

Zunar juga mahu mahkamah mengisytiharkan Seksyen 59 dan 59A Akta Imigresen sebagai tidak sah kerana tidak memberikan peluang seseorang itu membela diri dalam mahkamah dan mempersoalkan keputusan pihak berkuasa.

Pada 17 Oktober, Zunar mendapati namanya disenarai hitamkan oleh Jabatan Imigresen selepas dilarang meninggalkan negara bagi menghadiri sebuah forum di Singapura.

“Alasan yang diberikan ialah pengharaman itu atas arahan ketua polis negara tanpa penjelasan lanjut,” kata Zunar seprti dipetik Free Malaysia Today.

Zunar berkata disebabkan larangan itu, beliau tidak dapat menghadiri pameran seni di Switzerland dan Australia.

“Penganjur di sana menjemput saya kerana mereka meminati hasil seni saya.

“Pengharaman ini merupakan salah guna kuasa oleh kerajaan dan berniat jahat untuk menyekat kerja seni saya,” kata Zunar yang terkenal dengan kartun politik yang menyindir Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

TAGS