Zuraida anggap AMANAH Selangor tidak matang

Zuraida anggap AMANAH Selangor tidak matang

Walaupun Pas telah bertempik untuk bertanding di kerusi PKR tetapi pimpinan utama parti itu masih tidak bersetuju supaya kedudukan Pas dalam kerajaan negeri Selangor dikaji semula.

Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin menganggap desakan AMANAH negeri itu berhubung langkah tersebut sebagai tidak matang.

“Saya melihat kenyataan terbuka oleh AMANAH ini adalah tidak bertepatan dengan semangat kerjasama dalam Pakatan Harapan dari segi konsensus.

“Bukan cara kita menyalur pandangan sedemikian melalui kenyataan umum. Ini bukanlah amalan politik yang matang,” dipetik dari kenyataannya.

Zuraida mengulas usul Konvensyen AMANAH Selangor di Ampang semalam yang diluluskan sebulat suara supaya Datuk Seri Azmin Ali merangkap Pengerusi Pakatan Harapan Selangor mengkaji semula kedudukan Pas dalam kerajaan negeri.

Ketua AMANAH Kawasan Ampang, Mohd Anuar Mohd Yusof ketika membahaskan usul tersebut menganggap Pas seperti duri dalam daging yang boleh merencatkan usaha mengekalkan Pakatan Harapan di Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu, Azmin tegasnya, perlu meneliti semula kedudukan Pas dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor lantaran Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin suntuk.

Mengulas lanjut, Zuraida yang juga Setiausaha Pakatan Harapan Selangor bagaimanapun menghormati hak AMANAH Selangor menyuarakan pendapat mereka tetapi terkejut dengan gesaan secara terbuka yang disuarakan parti diterajui Mohamad Sabu itu.

{loadposition myposition} Ahli Parlimen Ampang itu menganggap komposisi kesemua wakil Pas pada masa ini dalam kerajaan Selangor sejajar dengan mandat yang diberikan rakyat pada pilihan raya umum lalu.

“Tambahan pula, kesemua wakil rakyat Pas kini telah menunjukkan komitmen mereka terhadap polisi-polisi kerajaan negeri serta agenda reformasi,” jelas Zuraida lagi.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan langkah paling terhormat untuk Exco Pas lakukan ialah meletak jawatan daripada kerajaan negeri Selangor.

Tindakan itu, ujarnya pada 28 April lalu, harus diambil jika Pas bertegas mahu menamatkan hubungan dengan PKR.

Meskipun mendakwa mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera (BPMS), Pas dilihat terus memusuhi PKR dengan kemuncaknya apabila Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat pada 27 April lalu memutuskan ‘tahaluf siyasi’ (kerjasama) dengan PKR.

Usul yang diluluskan tanpa bahas itu ekoran PKR dikatakan telah melanggar begitu banyak syarat ‘tahaluf siyasi’ dengan Pas.

Selanjutnya, Majlis Syura Ulama pada 11 Mei lalu memuktamadkan pembatalan hubungan politik Pas dengan sekutunya itu dengan hujah bahawa PKR tidak menyokong usaha Pas meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).

Selain itu, Setiausaha badan tertinggi parti tersebut, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh dalam kenyataan sama mendakwa PKR bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan Kelantan serta menentang Pas pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar tahun lalu.

Walau bagaimanapun, Pas tidak mengeluarkan arahan kepada tiga anggota Exco Selangor daripada partinya untuk keluar dari kerajaan negeri yang diterajui PKR itu.

Sebaliknya, pimpinan parti itu pada 18 Mei lalu mengeluarkan arahan supaya mereka terbabit terus kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Bahkan, tiga hari selepas itu, Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menganggap tiga Exco terbabit sebagai ‘anak jantan’ kerana tidak tunduk dengan desakan supaya mereka meletak jawatan.

Pas yang bukan komponen Pakatan Harapan dan secara terbuka bermusuh dengan DAP telah membentuk Gagasan Sejahtera tahun lalu yang dianggapnya sebagai pakatan blok ketiga politik bagi menghadapi PRU14.

Gabungan politik tidak rasmi yang dibentuk bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) itu sekali gus membawa isyarat pertembungan tiga penjuru yang cuba dihindari sebahagian pimpinan PKR khususnya di Selangor tidak dapat dielak.

CATEGORIES
TAGS