1.2 juta tandatangani Deklarasi Rakyat hingga kini

1.2 juta tandatangani Deklarasi Rakyat hingga kini

Sejumlah 1,271,997 rakyat negara ini telah menandatangani Deklarasi Rakyat menuntut perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berundur.

Dari jumlah itu,  1,071,997 adalah secara online manakala ‘hard copy’ sudah dikira 200,000 sehingga kini.

“Pengiraan untuk hard copy masih diteruskan,” kata salah seorang ahli mesyuarat Gerakan Selamatkan Malaysia yang sedang berjalan.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini dihadiri oleh kebanyakan pemimpin yang menandatangani deklarasi itu ketika ia dilancarkan Mac lalu.

Ia bertujuan untuk memaklumkan kepada mereka perkembangan terkini gerakan ini.

Antara yang hadir ialah ketua sekretariat Datuk Kamaruddin Jaffar, timbalan presiden Amanah Salahudin Ayub, naib pengerusi DAP Teresa Kok, naib presiden PKR Tian Chua, Adun Salor Datuk Husam Musa dan lain-lain.

Deklarasi Rakyat yang dilancarkan 4 Mac lalu bertujuan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan melalui saluran yang aman dan mengikut undang-undang negara.

Deklarasi yang pada mulanya ditandatangani 50 pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO) itu juga bersetuju menyingkirkan semua pihak yang mendokong Najib.

Ia turut menuntut undang-undang dan perjanjian baru yang melanggar hak asasi dijamin perlembagaan dan melemahkan polisi terpilih dimansuhkan, selain memulihkan integriti institusi yang telah dilemahkan seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC).

TAGS