Malaysia Dateline

1.6 juta penjawat awam, 77,935 NGO mampu jadi ejen perubahan jayakan DKKA

Seramai 1.6 juta penjawat awam dan 77,995 badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara mampu menjadi ejen perubahan dalam memberi penerangan kepada orang ramai mengenai peranan yang boleh dimainkan masyarakat dalam membantu usaha menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

Timbalan Ketua Eksekutif, Analisa Dasar dan Strategi Keselamatan, Institut Keselamatan Awam Malaysia (Ipsom), Shukri Janudin berkata Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) yang dilancarkan pada 3 Okt lepas memerlukan penglibatan semua pihak, selaras dengan temanya “Keselamatan dan Ketenteraman Awam: Tanggungjawab Bersama”.

“Sebagai ‘communicators’ utama, penjawat awam boleh menerangkan kepada masyarakat bahawa tugas untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam ini adalah tugas bersama.

“Kita jangan lihat DKKA ini di bawah KDN (Kementerian Dalam Negeri), biarlah polis yang buat kita tak payah buat,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan taklimat mengenai DKKA kepada warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), pada Selasa.

Shukri berkata pelbagai cara boleh dilakukan orang ramai dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, antaranya turut sama-sama terlibat dalam Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di kawasan masing-masing.

“Janganlah kita tunggu dan lihat sahaja kalau ada kes-kes jenayah di tempat kita. Ambil tahu masalah yang berlaku di sekeliling kita,” katanya.– BERNAMA