Malaysia Dateline

1.6 tan ikan untuk penduduk Pulai

Sebanyak 1.6 tan ikan segar pelbagai jenis telah diberikan kepada penduduk yang melibatkan sebanyak 700 unit rumah di kawasan Pulai.

Menurut Pengawai Khas Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub, Sharon Teo Siew Hui berkata, ikan tersebut telah disumbangkan oleh pihak-pihak yang ingin membantu golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, melalui Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pulai, aktiviti edaran ikan tersebut disusun dan diatur bagi bertujuan membantu golongan yang memerlukan.

“Kita berbesar hati kerana sumbangan dari orang ramai untuk membantu meringankan beban golongan yang terkesan akibat PKP ini.

“Selain sumbangan ikan, kita juga turut memberi bantuan makanan harian kepada mereka dan dapatan penama penerima sumbangan adalah berdasarkan rekod yang diberikan kepada kami.

“Pusat Khidmat Rakyat melalui Datuk Seri Salahuddin Ayub selama ini telah menjalankan aktiviti seperti ini di seluruh kawasan di parlimen Pulai dan sasaran kali ini adalah di sekitar kawasan Bukit Indah, Johor Bahru,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, menurutnya selain mereka yang terjejas, pihak jentera parlimen Pulai juga turut menyampaikan sumbangan kepada golongan ‘frontliner’ di sekitar kawasan parlimen berkenaan.

Menurutnya lagi, Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub telah menggerakkan jentera bantuan ini seawal PKP ini dilancarkan oleh pihak kerajaan.

“Datuk Seri (Salahuddin) telah menyusun untuk mengadakan program seperti ini dan matlamat utamanya adalah untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh rakyat setempat.

“Selain itu, beliau (Salahuddin) dalam perbincangan tidak mahu rakyat di parlimen ini terabai serta tidak diberikan perhatian. Langkah untuk mengadakan aktiviti seperti ini dijalankan bagi membantu semampu mungkin kepada golongan yang terkesan,” katanya lagi.