Malaysia Dateline

1% KDNK untuk Kementerian Pertahanan JKPK tiada kuasa penentu

Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri mempunyai kuasa membincangkan jumlah peruntukan yang difikirkan sesuai untuk disalurkan kepada Kementerian Pertahanan.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menjelaskan, keputusan muktamad mengenai jumlah peruntukan itu terletak kepada pihak pentadbiran Parlimen itu sendiri.

“Jawatankuasa boleh mengeluarkan laporan, tetapi akhir kata akan ada pengasingan kuasa. Ada perkara yang eksekutif akan putuskan, tetapi setelah penerima rujukan oleh jawatankuasa, menteri harus memberi jawapan kepada syor-syor yang dibuat oleh jawatankuasa.

“Sistem yang kita amalkan sekarang ialah, kementerian mesti memberi maklum balas. Akhir kata, terpulanglah kepada Parlimen iaitu di peringkat pleno (sidang yang lengkap daripada seluruh anggota) untuk membuat keputusan.

“Itulah sistemnya, tetapi laporan jawatankuasa tidak muktamad pada peringkat jawatankuasa sahaja, ia akan dikembalikan pada sidang pleno dan keputusan akan dibuat menerusi sidang tersebut.

“Untuk makluman juga, setiap jawatankuasa pilihan khas yang ditubuhkan mempunyai terma rujukan yang amat luas. Jadi setiap jawatankuasa pilihan mempunyai kuasa untuk membincangkan apa yang difikirkan patut dalam lingkungan terma rujukan itu,” katanya ketika sesi soal jawab bersama media di Bilik Bankuet, Bangunan Parlimen, malam tadi.

Mohamad Ariff mengulas demikian ketika ditanya pemberita adakah jumlah peruntukan  1 peratus Keluaran Dalan Negara Kasar (KDNK) yang diminta Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu akan dibincangkan oleh jawatankuasa pilihan khas tersebut, dan siapakah yang akan membuat keputusan muktamad berkaitan hasrat peruntukan itu.

Pada 2 Disember lepas, ketika sesi pembentangan Kertas Putih Pertahanan (KPP) di Dewan Rakyat, Mohamad memohon pihak kerajaan supaya memperuntukkan sekurang-kurangnya satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bertujuan meningkatkan aset pertahanan negara.

Terdahulu, Mohamad Ariff menghadiri Majlis  Makan Malam Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dan Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Bersama Pengamal Media yang bertemakan ‘Reformasi & Hala Tuju Parlimen Malaysia 2020’.

Turut hadir, dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon dan Nga Kor Ming; Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Noraini Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet, Datuk Seri Mustapa Mohamed,  Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan dan Perdagangan Antarabangsa, Wong Chen dan Setiausaha Parlimen Datuk Rosmee Hamzah.

Dalam majlis itu, Mohamad Ariff turut mengimbas kembali pelancaran Aplikasi Mobile Rasmi Parlimen Malaysia yang memaparkan maklumat lengkap senarai wakil rakyat bagi Dewan Rakyat, dan senator bagi Dewan Negara.