Malaysia Dateline

‘1 peratus’ peluang Anwar ditabal Perdana Menteri kesembilan

Kelmarin bila aku tulis “almost game over untuk PH”, seorang rakan Pemuda AMANAH telefon tiga kali untuk minta penjelasan, cuma tak terangkat.

Cuma pagi tadi akhirnya dapat dia bercakap dan sebut, jadi berlakulah siri curhat dan menurutnya tulisan itu menyebabkan moral penyokong PH jatuh. Moral dia jatuh, maka serba salahlah juga.

Pertamanya, pandangan semalam adalah dari sisi harfiah, luaran, literal iaitu berdasarkan kiraan PN 100 + 15 Ahli Parlimen kluster mahkamah.

Sebagai peminat pengajian agama yang dimomoknya sebagai wahabi, pendekatan sama aku gunakan iaitu apa yang zahir, Umno dan PN sokong Ismail Sabri. Jadi dia dapat majoriti, tak perlu takwil takwil atau ada teori lain.

Cuma, agama tak ada lah sama dengan politik. Pandangan melalui tulisan semalam hanyalah satu sisi pandangan yang aku letakkan dalam beberapa situasi yang mungkin berlaku.

Aku lebih gemar berkongsi pandangan yang ada bukti yang boleh tunjuk, haa tu PN 100 tambah 15 kluster mahkamah, 115, majoriti. Mudah, tak perlu berbasa basi dan memikirkan teori bagai. Walaupun aku sendiri ada teori dan fikiran lain.

Jadi jika mahu dengan teori yang lain, bolehlah aku kongsikan juga namun sebarang risiko luluh hati tanggung sendiri.

Aku berpandangan, Anwar Ibrahim masih berpeluang sebagai Perdana Menteri ke sembilan, mungkin tidak besar tapi bukan 0.00001 peratus.

Sebaliknya, Anwar masih berpeluang sekurangnya 1 peratus dan siapa yang mengikuti siri Pelindung Mata 21, akan tahu bahawa 1 peratus adalah angka signifikan untuk peroleh kemenangan.

Kapten Hiruma Youchi yang memimpin pasukan Deimon Devil Bat bila berdepan satu pasukan gergasi ditanya rakan pasukannya, mampukah mereka menang. Secara zahir, katanya peluang kemenangan adalah satu peratus, namun itu bukan penghalang untuk terus berjuang dan ya, kemudian mereka menang.

Dimana 1 peratus peluang Anwar Ibrahim ?

Pertama, apabila berakhir jam 4 petang kelmarin dan semua Akuan Bersumpah (SD) telah dihantar, namun Yang di-Pertuan Agong masih menunggu sehingga mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu hari ini untuk membuat pengumuman. Ia sekaligus menunjukkan bahawa peluang masih ada untuk Anwar.

Jika sememangnya YDPA akan pilih melalui majoriti dan zahirnya Ismail Sabri yang memiliki majoriti, maka semalam lagi Ismail Sabri dah angkat sumpah.

Dalilnya, pada tahun lepas apabila istana mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua parti mendapati Mahiaddin mendapat sokongan majoriti (diumumkan sebelum atau sekitar maghrib) dengan pertemuan berakhir petang yang sama, petang keesokannya Mahiaddin telah mengangkat sumpah, namun kenapa situasi sama tidak berulang?

Soalan ini tiada jawapan tapi aku letak ia sebagai peluang kedua untuk Anwar Ibrahim, bahawa beliau belum tewas. Di sini 1 peratus pertama beliau.

Kedua, pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menyerahkan kepada YDPA untuk memilih Perdana Menteri dan kesediaan mereka akur pada pilihan terbabit.

Ya, wakil GPS sebut secara prinsip mereka hanya menghantar satu calon kepada YDPA tapi berbeza dengan Pas, mereka sehingga sekarang tidak umumkan. Hanya Umno yang umum nama calon yang dihantar.

Dan jika boleh berteori menyedapkan hati rakan-rakan, kita setuju GPS scra prinsip hantar satu nama. Dari 18 MP mungkin keadaan ini boleh terjadi di mana tujuh orang hantar nama Ismail Sabri dan 11 lagi berkecuali. Ini menjadikan Anwar lebih majoriti.

Kenapa aku sebut 11? Kiraan aku 100 PN + 15 Umno menjadikan 115. PH mempunyai 105, jadi dengan 11 berkecuali, menjadikan Ismail Sabri memperoleh 104 sahaja, kurang satu. Di sini juga terletak merit 1 peratus beliau.

Sekali lagi, ini teori nak menyedapkan hati rakan-rakan.

Ketiga, aku percaya bahawa 114 sokongan kepada Ismail Sabri itu, sebahagiannya SD bermasalah dan akhirnya memaksa 114 orang ini sekali lagi terpaksa mengadap YDPA satu per satu untuk mengesahkan. Kenapa aku kata bermasalah?

Sebab jika tidak bermasalah kenapa perlu disahkan sekali lagi? Telah tular satu video MP Pas bercakap melalui panggilan telefon dengan YDPA yang sekali lagi mengesahkan sokongan mereka, kenapa?

Entah aku tiada jawapan tetapi perkara itu mewujudkan 1 peratus itu.

Keempat, menilai kestabilan kerajaan baharu yang dibentuk dengan pendirian GPS yang akan akur kepada pilihan YDPA, blok Pakatan Harapan lebih mendekati kestabilan iaitu gabungan PN secara total akan memiliki 114 sokongan seperti disebut-sebut.

Namun jika Perdana Menteri Pakatan Harapan dengan 105 MP sedia ada, dan sokongan GPS kepada Perdana Menteri pilihan YDPA yang ditakdirkan ianya Anwar Ibrahim, akan menjadikan sokongan sebanyak 123 MP. Ternyata pilihan ini lebih stabil.

Aku masih ada beberapa teori dan pandangan “penyedap hati”, namun cukup lah empat.

99 peratus kita mungkin melihat Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, namun ada 1 peratus yang mungkin boleh menjadi taruhan kita.

Sebagai penyokong Anwar Ibrahim sejak bersekolah lagi, bahkan cukup mengidolakan Presiden Keadilan itu, tentu ingin aku melihat beliau dipuncak, sebagai mana lagu Spider ciptaan arwah Loloq menyebut ;

Bukan kau tidak berjaga jaga
Atau sudah kau hilang rasa
Mahu pun lupa cerita lara
Sampai sudah masih terkenang

Berbelas berbulu beratus kali engkau
Terbabas terhempas terpulas
Sama lu kita salut lu memang hero
Kita pun kecut perut tengok dari jauh

Sama lu kita salut
Lu memang jebat
Biar dah banyak balut masih lagi ligat

Dimata kita mereka buta insan kau cinta tak berguna
Tak patut hidup di pentas maya
Biar saja digilis roda

Berbelas berbulu beratus kali dia
Terbabas terhempas terpulas
Sama lu kita salut lu memang hero
Kita pun kecut perut tengok dari jauh

Sama lu kita salut lu memang jebat
Biar dah banyak balut masih lagi ligat
Kita semua memang lah suka mahu melihat kau berjaya
Semoga kau dapat cinta yang indah

Sama lu kita salut
Lu memang hero
Kita pun kecut perut tengok dari jauh
Lu memang jebat
Biar dah banyak balut masih lagi ligat
Sama lu kita salut

—————————
Penulis ialah Setiausaha Pemuda AMANAH Terengganu
Setiausaha Pemuda Pakatan Harapan Terengganu