Malaysia Dateline

10 dapat ‘Datuk’ di Terengganu, tiada seorang pun ahli politik

Ketika media melaporkan Istana Terengganu mempunyai masalah dengan Menteri Besar Terengganu, tiada seorang pun ahli politik di Terengganu dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) yang membawa gelaran Datuk.

Menerusi kenyataan Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu, Datuk Isa @ Ghazali Endut hari ini, lima doktor termasuk Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Nor Azimi Yunus mendahului senarai.

Isa berkata pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi tahun ini berkuatkuasa mulai hari ini.

Senarai 10 penerima gelaran itu terdiri daripada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Nor Azimi Yunus; Pakar Perunding Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Ahmad Kashfi Ab Rahman dan Pakar Perunding Anesthesiologi & Intensivist HSNZ, Dr Mohd Ridhwan Mohd Noor.

Turut dianugerahkan D.P.M.T ialah Timbalan Pengarah JKNT, Dr Kasemani Embong dan Ketua Penolong Pengarah Kanan (Primer)/Ketua Bilik CPRC Covid-19 Pejabat Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Hasnan Arwit @ Hassan.

Sultan Terengganu juga berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran D.P.M.T kepada pelumba basikal negara, Mohd Azizulhasni Awang; Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan, Azri Sani Mazlan; Pengerusi Eksekutif Hours Intertrade (M) Sdn Bhd Md Nor Ismail; Ahli Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu, Mohamad Zahari Harun serta Pengarah Urusan Arup Jururunding Sdn Bhd, Wan Anuar Wan Endut.

Selain itu, Sultan Mizan turut mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Terengganu (S.M.T.) kepada empat lagi doktor iaitu Pakar Patologi HSNZ, Dr Fatimah Haslina Abdullah; Ketua Penolong Pengarah Kanan (Primer)/Ketua Bilik CPRC Pejabat Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Azmani Wahab; Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan), Dr Saifur Rahman Muhammad dan Pengarah Hospital Hulu Terengganu, Dr Mohamad Yurzi Mat Rani @ Ghani.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali turut dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.S.M.Z.) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Isa berkata, Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu Tahun 2021 itu akan diadakan pada satu tarikh akan ditetapkan kemudian.