Malaysia Dateline

10 lagu tamat darurat untuk dinilai orang ramai mulai esok

Orang ramai boleh mendengar dan menilai 10 buah lagu yang disenaraipendek dalam Pertandingan Mencipta Lagu Tamat Darurat mulai esok.

Kesemua lagu terbabit akan disiar menerusi laman Facebook Tamat Darurat sehingga 8 Julai ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Tamat Darurat, Khalid Abd Samad.

“Orang ramai boleh memilih tiga lagu pilihan mereka melalui pautan undian di laman Facebook Tamat Darurat dan hanya boleh mengundi sekali bagi setiap emel.

“Kemudian para juri akan menetapkan pemenang iaitu juara, tempat kedua, ketiga dan tujuh hadiah saguhati.

“30 peratus markah akan ditentukan oleh undian orang ramai manakala 70 peratus lagi adalah markah yang akan diberikan oleh para juri profesional,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam itu memberitahu pihaknya telah menerima 35 buah lagu untuk menyertai pertandingan tersebut selepas tarikh tutupnya pada 30 Jun lalu.

Menurut wakil rakyat AMANAH berkenaan, 25 lagu daripada jumlah yang diterima itu telah memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Tujuh lagu yang dihantar tidak berkaitan dengan pertandingan ini manakala tiga lagu diterima selepas tarikh tutup pertandingan iaitu pada jam 12 tengah malam 30 Jun 2021.

“Pihak juri pertandingan telah memilih 10 dari 25 lagu yang layak itu untuk dimasukkan ke dalam senarai pendek pertandingan ini,” katanya.

Khalid berkata, pihak penganjur akan mengumumkan keputusan pertandingan itu pada 10 Julai ini, 11 pagi melalui satu siaran langsung menerusi Facebook Live.

“Juara akan menerima RM3,000, naib juara RM2,000, tempat ketiga RM1,000 manakala tujuh hadiah saguhati bernilai RM250 setiap satu,” ujarnya lagi.

Pertandingan yang dilancarkan pada 6 Jun lalu itu bagi memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung perlunya pelaksanaan darurat ditamatkan secepat mungkin.