Setelah menang besar dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak 7 Mei lalu, kerajaan BN Sarawak bakal menyaksikan pertambahan anggota kabinet negeri dengan 10 menteri penuh dijangka mengangkat sumpah esok.
Menurut sumber, sepuluh menteri penuh di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem itu akan mengangkat sumpah pada jam 3 petang Jumaat.
Antara yang tersenarai ialah Adenan, Dato’ Sri Wong Soon Koh, Senator Datuk Dr Sim Kui Hian, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Fatimah Abdullah dan Dato Sri Michael Manyin, lapor The Borneo Post.
Sementara itu, khabar angin tersebar luas di Kuching mengatakan tiga Timbalan Ketua Menteri akan diumumkan dalam pembentukan kabinet baru itu.
Mereka yang termasuk dalam senarai itu ialah Datuk Amar Douglas Uggah, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg and Tan Sri Dr James Jemut Masing.
Semasa kempen PRN Sarawak baru-baru ini, Adenan berjanji akan melantik timbalan ketua menteri mewakili masyarakat Cina jika BN kembali memegang tampuk pemerintahan negeri.
Antara muka baru yang disebut-sebut menyertai kabinet negeri Sarawak ialah Datuk Stephen Rundi, Dr Sim dan Uggah.
Tan Sri William Mawan digugurkan daripada senarai kabinet negeri.