Malaysia Dateline

10 MP geng Azmin bidas Saifuddin isu lompat parti

10 Ahli Parlimen geng Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali membidas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung isu lompat parti.

Kesemua bekas Ahli Parlimen PKR itu menganggap Saifuddin tidak memiliki kedudukan moral untuk menjuarai hujah berhubung isu tersebut.

“Beliau telah beberapa kali menjadi juara melompat dari Umno ke PKR, kemudian dari PKR ke Pas dan seterusnya, dari Pas kembali ke PKR.

“Berbanding dengan YB Datuk Dr. Xavier yang merupakan Naib Presiden PKR yang terpilih, kedudukan Saifuddin dalam parti adalah lemah kerana hanya sebagai seorang yang dilantik.

“Saifuddin tidak mempunyai legitimasi dan keabsahan dan kita fahami dia bersuara bagi pihak Anwar dalam situasi begini,” kata kenyataan bersama itu hari ini.

Diketuai Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, sembilan lagi ialah Datuk Zuraida Kamaruddin, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Datuk Kamarudin Jaffar, Datuk Dr. Mansor Othman, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar, Datuk Ali Biju, Datuk Willie Mongin dan Jonathan Yasin.

Dalam masa sama, mereka dilihat turut menyasarkan Setiausaha Agung DAP yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng walaupun tidak menyebutkan nama.

“Sekiranya Saifuddin jujur dan ikhlas tentang kedaulatan undang-undang dan perjuangan melawan rasuah, mengapa dia terus menerus diam membisu tentang kes rasuah yang melibatkan seorang tokoh ternama kepimpinan PH yang tiba-tiba digugurkan tatkala perbicaraan sedang berjalan lancar?

“Suatu yang amat mengecewakan dan menggusarkan SPRM dan masyarakat awam,” katanya.

Pada 3 September 2018, Guan Eng dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo.

Kesemua pemimpin yang meninggalkan PKR itu juga menganggap tuduhan bahawa Perikatan Nasional (PN) menggunakan sogokan dan intimidasi untuk meraih sokongan ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) adalah tidak berasas sama sekali.

Mereka berkata, ahli-ahli Parlimen terbabit melakukan penilaian objektif dan menyedari bahawa kerajaan PN telah mengambil tindakan yang bertanggungjawab dalam menangani Covid-19 dengan menyalurkan sejumlah RM320 bilion untuk kepentingan rakyat dan mencerdaskan ekonomi.

“Tuduhan-tuduhan ini merupakan serangan terhadap integriti SPRM dan polis. Kami memandang serius tuduhan menghasut secara terang-terang ini yang boleh menjejaskan kredibiliti institusi penguatkuasaan dan meminta tindakan undang-undang segera terhadap mereka,” kata kenyataan tersebut.