Malaysia Dateline

10 perkara ‘luar biasa’ dalam keputusan PRN Johor

Terdapat sekurang-kurangnya 10 perkara ‘luar biasa’ dalam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac lalu. Kajian pihak Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati PRN ke-4 selepas Pilihan Raya Umum (PRU-14) itu antara lain menyaksikan amat tinggi jumlah undi rosak.

Berikut 10 perkara ‘luar biasa’ seperti didedahkan firma penyelidikan IDE semalam:

1. Peratusan undi rosak adalah berjumlah satu peratus daripada keseluruhan 2,597,743 pemilih berdaftar yang layak mengundi pada PRN Johor.

2. Undi rosak adalah lebih tinggi daripada jumlah undi diperoleh enam parti politik bertanding serta calon-calon bebas iaitu Parti Pejuang Tanahair (0.72 peratus); Parti Warisan (0.25 peratus); Parti Bangsa Malaysia (0.14 peratus); Parti Sosialis Malaysia (0.04 peratus); Parti Pribumi Perkasa Malaysia (0.01 peratus) dan bebas (0.36 peratus).

3. Terdapat jumlah undi rosak yang melebihi kedudukan kemenangan majoriti calon di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir dan Parit Yaani yang dimenangi BN, manakala kerusi DUN Bukit Batu dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

4. Empat DUN mengalami masalah undi rosak mencapai hampir 1,000 undi iaitu Johor Jaya yang dimenangi DAP serta Tiram, Kota Iskandar dan Permas (BN).

5. Ada Polling Agent dan Counting Agent (PACA) memaklumkan wujud situasi orang menconteng kertas undi dengan ekspresi tidak puas hati.

10 perkara 'luar biasa' dalam keputusan PRN Johor

6. Sebilangan besar kawasan DUN yang memiliki peratusan kaum bukan Melayu terutama kaum Cina, mencatatkan rekod keluar mengundi terendah berbanding kawasan majoriti Melayu.

7. Lima DUN memiliki komposisi pengundi Cina lebih tinggi, mencatatkan kadar peratusan keluar mengundi kurang daripada 50 peratus iaitu Bentayan, Stulang, Skudai, Puteri Wangsa dan Perling.

8. Hampir kesemua 14 DUN yang melebihi 60 peratus keluar mengundi adalah kerusi DUN majoriti Melayu yang dimenangi BN, kecuali DUN Bukit Kepong yang dimenangi calon PN, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

9. Peratusan keluar mengundi di kerusi DUN majoriti pengundi bukan Melayu adalah bawah 50 peratus dengan dimenangi DAP manakala DUN Puteri Wangsa dimenangi Muda.

10. Berlaku pengurangan ketara majoriti undi kemenangan diperoleh hampir keseluruhan 10 calon DAP yang menang sehingga menyebabkan parti itu terlepas empat kerusi DUN kepada MCA iaitu Yong Peng, Bekok, Paloh dan Pekan Nanas.

Baca Lagi: https://malaysiadateline.com/prn-johor-bn-menang-bukan-kerana-kuat-tapi-dapat-manfaat-ekoran-perpecahan-pembangkang/

Baca Lagi: https://themalaysialife.com/pack-smart-ini-10-tips-melancong-untuk-anda-si-beginner/