Malaysia Dateline

10 polis, 2 SPRM disyakki geng Nicky ditahan

10 pegawai polis dan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan kerana disyaki teribat dengan ahli perniagaan dalam pelarian Nicky Liow yang dikehendaki kerana aktiviti pengubahan wang haram dan penipuan, lapor The Malaysian Insight.

Antara yang ditahan adalah dua pegawai kanan polis yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Jabatan Pematuhan Integriti dan Standard (JIPS).

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya turut menahan dua pegawai SPRM dalam dua operasi yang dijalankan di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan bermula 21 April.

“Di Bukit Aman kita menahan superintendan dari JSJ dan inspektor dari JIPS.

“Di Selangor kita menahan seorang deputi superintendan (DSP) dan dua inspektor dari JCJ dan seorang lagi inspektor dari Cawangan Khas.

“Di Melaka kita menahan seorang DSP manakala di Kuala Lumpur kita menahan asisten superintendan (ASP) yang bertugas di unit jenayah komersil di ibu pejabat polis daerah Sentul.

“Di Negeri Sembilan, dua inspektor ditahan dan di Putrajaya kita menahan dua pegawai SPRM. Seorang penolong pesuruhjaya dan seorang lagi pegawai penguatkuasa kanan,” kata Ayub pada sidang media hari ini, lapot laman itu.

Mereka yang ditahan berusia antara 36 dan 49 tahun.

Penahanan dibuat menerusi Ops Pelican 3.0 yang dijalankan bagi memburu Nicky Liow yang didakwa terlibat dengan sindiket pengubahan wang haram dan penipuan melibatkan jutaan ringgit.