Malaysia Dateline

10 tahun nenek menahan sabar diganggu haiwan dari zoo

Sudah 10 tahun nenek ini menahan sabar setelah rumahnya diganggu oleh sekumpulan haiwan dari sebuah mini zoo yang berdekatan kediamannya.

Bagaimanapun hari ini Senyum Ujang, 70 tidak mampu menahan sabar lagi apabila penghujung tahun lalu berbelas haiwan daripada zoo terbabit telah merosakkan halaman rumahnya.

“Orang lain yang buka zoo namun rumah saya yang dipenuhi najis haiwan,” katanya yang tinggal di Kampung Manggis, Jalan Pantai Seremban baru-baru ini.

Menurutnya, haiwan ternakan seperti kuda dan kambing dari sebuah zoo mini berdekatan rumahnya dibiarkan merayau dan memasuki tanah serta halaman rumah.

“Saya berhadapan masalah ini sejak tinggal di sini, kira-kira 10 tahun lalu. Bagi mengelakkan haiwan ini masuk ke halaman rumah, kami membina pagar, namun ada juga haiwan berjaya menceroboh masuk,” katanya dipetik Harian Metro.

Beliau mengeluh kambing masuk secara berkumpulan dan memakan pokok bunga, pokok buah-buahan dan sayuran lain yang ditanam bahkan meninggalkan najis dan menyepahkan sampah

Namun dia cuba bertolak ansur supaya pengusaha agro pelancongan terbabit menyelesaikannya dengan cara baik.

“Saya sangat tertekan apabila melihat kambing dan kuda ini makan tumbuhan yang saya tanam.

10 tahun nenek menahan sabar diganggu haiwan dari zoo
8220Saya sangat tertekan apabila melihat kambing dan kuda ini makan tumbuhan yang saya tanam8221

“Ketika banjir baru-baru ini, pagar di bahagian belakang rumah roboh menyebabkan haiwan itu masuk dan berkubang di halaman rumah, mereka membuang najis di merata tempat, menggaru badan pada tiang dan dinding rumah serta memusnahkan tumbuhan.

“Susulan itu, anak saya membuat laporan kepada Jabatan Veterinar namun mereka memaklumkan ia bukan di bawah bidang kuasa sebelum kami membuat laporan kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

Sementara itu, Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan kuda berkeliaran tanpa sebarang pemantauan memasuki ke kawasan halaman rumah pengadu yang terletak berhampiran pusat pelancongan eko persendirian di Pantai.

“Anggota penguatkuasa MBS menjalankan siasatan berkala ke lokasi aduan dan mendapati bahawa tiada kuda berkeliaran seperti yang dinyatakan pengadu di lokasi berkenaan.

“Ketika aduan dikemukakan, pusat pelancongan eko itu dilanda banjir pada awal bulan Januari 2022 yang menyebabkan pagar di sekeliling lokasi terbabit roboh, namun sudah dibaiki.

“Sehubungan itu, pengusaha pusat pelancongan eko terbabit diberi nasihat secara lisan supaya menjaga haiwan peliharaan supaya tidak mengganggu penduduk di kawasan sekitar,” katanya.