10 tawaran untuk perubahan di Parlimen Sik

10 tawaran untuk perubahan di Parlimen Sik

Nasib pengundi dalam kawasan Parlimen Sik yang tidak mampu diberi pembelaan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) sejak menerajui kepimpinan dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu tidak akan terus dibiarkan.

Sebaliknya beberapa perubahan akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Harapan (PH) mendapat sokongan daripada pengundi dalam kawasan tersebut.

Demikian dinyatakan oleh calon PH Parlimen Sik, Azli Che Uda melalui 10 tawaran yang disediakan.

Antara tawaran yang disediakan ialah menubuhkan tabung bantuan mensasarkan lima bidang utama iaitu perniagaan, sosial masyarakat, kesihatan, pendidikan, sukan dan juga rekreasi.

Manakala tawaran yang kedua ialah mewujudkan ‘Tabung Wakaf’ bagi membantu golongan yang memerlukan.

Jelasnya lagi, selain daripada itu, tawaran berikutnya adalah memperkukuhkan sosio-ekonomi dan sosio-masyarakat bagi mewujudkan ‘Sik Makmur’.

“Menggubal dan mengkaji semula harga getah, penetapan harga getah serta formula pengiraan harga getah di pasaran.

Azli (dua dari kanan) ketika menyantuni penduduk Felda Teloi Timur dan menyerahkan kerusi roda yang amat diperlukan oleh keluarga tersebut.

“Seterusnya ialah menaik taraf keperluan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan perhubungan dan beberapa keperluan asas yang lain.

“Membuka dan memperbanyakkan peluang dan ruang untuk golongan wanita melibatkan diri dalam bidang ekonomi serta bergiat aktif dalam masyarakat,” ujarnya lagi.

Tegasnya lagi, tawaran lain yang disediakan ialah mewujudkan ‘Agro Pelancongan’ dalam Daerah Sik bagi memperkenalkan Sik ke seluruh negara dan persada antarabangsa.

“Menjadikan Daerah Sik sebagai pusat pengeluar makanan berbentuk hiliran merupakan satu lagi tawaran yang akan dilaksanakan agar ianya memberi manfaat kepada penduduk dalam Parlimen Sik.

“Membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi mengurangkan penghijrahan golongan muda keluar dari kawasan Parlimen Sik.

Azli bersama-sama dengan masyarakat Siam di Parlimen Sik.

“Membudayakan ‘Masyarakat Peduli’ bagi mewujudkan masyarakat yang lebih prihatin dalam pelbagai isu yang menyentuh masyarakat sekitar,” katanya.

Membudayakan ‘Masyarakat Bersukan’ dalam memacu pembangunan sukan dalam Parlimen Sik merupakan antara satu lagi tawaran yang akan dilaksanakan seandainya mandat diperolehi dalam PRU yang akan datang tidak lama lagi.

Sehubungan itu tambahnya pengundi dalam Parlimen Sik harus bangkit dan berani untuk membuat perubahan dengan memberi mandat kepada PH menjelang PRU yang akan datang pada 9 Mei nanti.

Malah katanya, perubahan ini amat penting demi masa depan generasi yang akan datang agar nasib mereka terus dibela dan tidak lagi berada pada takuk lama dan statik tanpa pelbagai perubahan sama ada dari segi pembangunan material maupun mental.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote