100,000 pemandu Teksi,Uber, Grabcar dilindungi insuran berkuatkuasa 1 Jun

100,000 pemandu Teksi,Uber, Grabcar dilindungi insuran berkuatkuasa 1 Jun

Seramai 100,000 pemandu teksi termasuk Uber dan Grab yang bekerja sendiri akan dilindungi di bawah Skim Bencana Pekerjaan selepas Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 diluluskan oleh Dewan Negara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata skim itu akan berkuat kuasa pada 1 Jun ini dan semua pemandu yang berdaftar dengan Suruhahjaya Pengangkutan Darat (SPAD) layak untuk menyertainya.

Katanya, kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM60 juta sebagai permulaan untuk melaksanakan skim insurans persendirian itu.

“Skim ini yang mula diperkenalkan kepada pemandu yang bekerja sendiri itu akan turut diperluaskan kepada sektor lain seperti petani, pesawah, peniaga, peladang, penjual buah dan sebagainya secara berperingkat.

“Sasaran kita adalah supaya semua rakyat di negara ini dilindungi insurans,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Baki Bantuan Banjir di Sekolah Kebangsaan Chenor, Maran, hari ini.

Ismail berkata bancian mendapati sebanyak 2.48 juta rakyat di negara ini dikenal pasti terdiri daripada mereka yang bekerja sendiri, membolehkan mereka dikategorikan sebagai layak memiliki perlindungan itu.

Mengulas mengenai skim kepada pemandu teksi itu, Ismail berkata mereka hanya perlu membayar kadar caruman sebanyak 1.25% sahaja daripada pendapatan bulanan mereka.

Kadar bayaran caruman setahun yang perlu dibuat kepadaPertubuhan Keselamatan Pekerja (PERKESO) adalah antara RM157.20 (RM13.10 sebulan) hingga RM592.00 (RM49.40 sebulan) bergantung kepada pendapatan yang diinsurankan.

“Skim tersebut merupakan satu pembelaan kepada golongan pemandu teksi kerana jika kemalangan semasa bertugas mereka akan mendapat pembelaan termasuk kepada keluarga mereka,” katanya.