100 ahli Umno, 20 ahli Pas Baling keluar parti

100 ahli Umno, 20 ahli Pas Baling keluar parti

Tindakan lebih 100 ahli Umno cawangan Tebing Tinggi dan Charok Sikin mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerlahkan lagi sokongan yang semakin terhakis pada Umno bahagian Baling yang diterajui oleh Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Pengumuman keluar parti itu merupakan satu tamparan hebat kepada Umno Baling yang sering mendakwa mereka mempunyai sokongan yang padu dari ahli Umno Bahagian.

Menurut Ketua Armada Baling, Abd Ghafar Shuib (gambar atas, lima dari kanan), kedua-dua cawangan tersebut merupakan kubu kuat Umno bahagian tersebut sebelum ini.

Namun dengan mengisytiharkan diri mereka keluar Umno, ia memberi isyarat bahawa kepimpinan Azeez semakin tidak diyakini oleh sebahagian besar pengundi dalam kawasan itu.

“Sebahagian besar dari golongan muda yang menyertai Bersatu adalah bukti bahawa mereka yakin dengan Pakatan Harapan untuk menerajui kepimpinan negara menjelang pilihan raya umum ke-14 nanti.

“Majoriti daripada mereka semakin muak dan bosan dengan janji-janji yang telah pun dilaung-laungkan oleh Umno sebelum PRU13 yang lalu.

“Mereka juga kesal apabila janji untuk mewujudkan hospital dan universiti tidak menjadi kenyataan walaupun tempoh untuk Umno dan BN memerintah hampir berakhir tidak lama lagi,” jelasnya kelmarin.

Tambahnya lagi, selain itu janji BN untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan muda dengan pembinaan kilang dan industri di Parlimen Baling juga tidak menjadi kenyataan.

“Apa yang mereka janjikan tidak berjaya dilaksanakan sehingga kini sehinggakan begitu ramai golongan muda terpaksa mendapatkan peluang pekerjaan sehingga ke Pulau Pinang dan Seberang Perai.

“Kedudukan Pulau Pinang dan Seberang Perai amat jauh sehingga memaksa anak muda mulai bangun seawal jam 4 pagi dan pulang ketika lewat malam.

“Kegagalan menunaikan janji tersebut memberi kesan yang amat besar kepada golongan muda apabila mereka merasa tertipu setelah memberi mandat dalam PRU yang lalu, sebaliknya janji yang diwar-warkan hanya tinggal janji semata-mata,” ujarnya lagi.

{loadposition myposition}

Ahli Pas turut keluar parti

Sementara itu, seramai 20 ahli Pas turut mengumumkan keluar parti dan menyertai Bersatu pada hari yang sama.

Difahamkan, dalam pilihan raya umum yang lalu Umno dan BN telah berjanji untuk membina Hospital Pakar Baling, namun begitu apa yang mereka janjikan tidak menjadi realiti sehingga kini.

Manakala janji mereka untuk membina UiTM bagi Parlimen Baling juga masih menjadi harapan pengundi yang tidak menjadi kenyataan walaupun PRU ke 14 semakin hampir.

Oleh kerana itu pengundi dalam Parlimen Baling seharusnya sedar dan bangkit untuk membuat perubahan dengan menolak Umno dan BN serta sekutunya dengan memberi sokongan kepada Pakatan Harapan.

CATEGORIES
TAGS