100 hari: Beri ruang kerajaan laksana janji manifesto, urus negara, kata pemimpin PH

Mohamed Hanipa Maidin

Seluruh rakyat di negara ini perlu memberikan ruang kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) menguruskan negara dan melaksanakan semua janji manifesto dalam Buku Harapan.

Timbalan Menteri (Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin berkata, sejak PH mengambil alih negara semua kepimpinan utama parti telah bekerja keras bagi menunaikan janji dalam manifesto.

Bagaimanapun ia tidak dapat untuk menarik hati sebahagian rakyat yang kembali mempersoalkan janji 100 hari PH itu.

“Walaupun sudah mencapai 100 hari pemerintahan mungkin ramai yang tidak pernah tahu bahawa kita (menteri kabinet) bekerja sepenuh masa untuk pastikan dapat melaksanakan semua janji tersebut.

“Kita sebenarnya menghadapi kekangan dari segi kewangan negara. Kita tidak sangka ketika Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan BN, kita dapati ia terlalu sukar.

“Walaupun kita sudah menjangkakan kesukaran itu akan berlaku dari awal, tetapi kita tidak pernah terfikir ‘sebesar’ itu pula, masalah dalam pentadbiran dahulu,” ujarnya ketika ditemui.

Beliau hadir  hari ini, memberikan sokongan kepada calon PH pada  PRK Dun Seri Setia, Halimey Abu Bakar pada hari penamaan calon yang diadakan di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya.

Ahli Parlimen Sepang ini juga berkata, kerajaan sentiasa memikirkan alternatif kepada pelaksanaan semua janji tersebut selain memikirkan perancangan baharu untuk membina sebuah sistem pentadbiran yang lebih baik di bawah kerajaan PH.

“Secara peribadi saya minta memahami keadaan kita, memang kita mahu melaksanakan semua janji, cuma kita minta sedikit masa.

“Permintaan ini (masa) bukan kerana kita tidak dapat laksanakan tetapi kitamahu laksanakan semua janji itu dengan jayanya. Kita tidak mahu dilakukan tergesa-gesa berkemungkinan akan menambah masalah,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu polisi kerajaan PH hari ini adalah memberi keutamaan untuk menghapuskan bebanan kos rakyat.

“Jika tidak dapat dihapuskan 100 peratus, kita harap dapat kurangkan beban kos rakyat,” ujarnya.

Hanipa juga berpendapat rakyat perlu berlaku adil untuk menilai pelaksanaan janji 100 hari itu.

“Jika rakyat bersikap adil mereka akan nampak kesungguhan pimpinan Pakatan Harapan. Saya rasa tidak timbul masalah mereka akan berasa kecewa atau tidak yakin dengan pentadbiran kerajaan PH hari ini.

“Pentadbiran hari ini akan memastikan janji-janji itu akan ditunaikan,” ujarnya.

Dr Siti Mariah Mahmud

Ketua Wanita AMANAH Nasional Dr Siti Mariah Mahmud pula berkata, tiada hasrat kerajaan PH untuk menidakkan atau mengenepikan mana-mana janji yang telah digariskan dalam Buku Harapan.

“Rakyat kena faham. Janji kita (PH) sebenarnya ada 100 hari,  ada sepanjang tahun dan sepenggal pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.

“Bagi saya sudah cecah 80 peratus kita memenuhi 10 janji 100 hari itu. Ada yang dah mula tetapi belum mencapai sepenuhnya seperti dijanjikan.

“Misalya KWSP kerana menghadapi masalah dalam perundangan, sebab itu kita mulakan dengan pencarum sukarela dahulu.

“Bagi saya jika ada rungutan di pihak pembangkang mengenai kegagalan janji manifesto 100 hari Pakatan Harapan, saya anggap mereka sengaja ‘dengki’ lah.

“Apa yang kami rangka dalam buku Harapan itu adalah maklumat yang kami dapat dalam Parlimen. Setelah apa yang berlaku hari ini,  jelas menunjukkan maklumat yang diberikan di Parlimen itu tidak benar ketika dibawah pemerintahan BN.

“Apabila Pakatan Harapan pula jadi kerajaan banyak yang kita hadapi untuk laksanakan 10 janji yang digariskan dalam manifesto.

“Mujur kita memerintah hari ini, jika BN terus memerintah negara akan jadi muflis lepas PRU14,” ujarnya.

Beliau turut diminta mengulas mengenai genap 100 hari pemerintahan kerajaan baharu Pakatan Harapan hari ini.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang baharu menang PRK Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, untuk membaiki kerosakan yang pernah dilakukan oleh BN dalam tempoh 60 tahun tidak cukup tempah 100 hari untuk dibandingkan.

Bagaimanapun ujarnya, sejak PH mengambil alih kerajaan pada PRU14 lalu, kerajaan sudah berusaha ke arah menunaikan 10 janji 100 hari itu.

“Walaupun tak tercapai 100 peratus ia tidak boleh dianggap kegagalan bagi sebuah kerajaan yang baharu mengambil alih kuasa.

“Bagi saya dakwaan kononnya kerajaan gagal laksana manifesto hanya bersifat populis oleh pihak pembangkang,” ujarnya.

3.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 6.0