100 hari pertama, Kementerian Pendidikan laksana 43 inisiatif

100 hari pertama, Kementerian Pendidikan laksana 43 inisiatif

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, dalam tempoh 100 hari sejak menerajui kementerian berkenaan, pihaknya telah berjaya melaksanakan 43 inisiatif demi kepentingan masa depan pelajar di semua peringkat di negara ini.

Jelas beliau, sebahagian daripada 43 inisiatif ini merupakan antara perkara yang telah dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto PRU14 manakala sebahagian lagi adalah inisiatif di luar buku Manifesto PH itu sendiri.

“Ini bermakna Kementerian Pendidikan Kerajaan pimpinan PH mengambil usaha dan pendekatan holistik dan membina bagi membolehkan martabat sistem pendidikan terus dipertingkatkan demi masa depan anak-anak kita.

“Sehubungan itu, salah satu daripada 43 inisiatif yang dilaksanakan itu termasuklah menunaikan janji untuk mengeluarkan nama peminjam PTPTN daripada senarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia.

“Ini telah dilakukan pada 8 Jun 2018 iaitu dalam tempoh 30 hari pentadbiran Kerajaan baharu. Langkah ini telah membantu seramai 429,945 peminjam,” kata beliau dalam kenyataan medianya semalam.

Katanya, dengan pelaksanaan tersebut, peminjam PTPTN yang patut membuat bayaran balik tidak lagi mempunyai sebarang sekatan Jabatan Imigresen.

Tambah beliau, pihaknya percaya mereka yang meminjam sedikit wang untuk membiayai pengajian tidak wajar dilayan seperti penjenayah atau seperti mereka yang mencuri dana negara.

“Sebelum ini, saya telah mengetengahkan beberapa janji saya sebagai Menteri Pendidikan di mana ia adalah komitmen saya untuk membawa penambahbaikan ke atas sistem pendidikan negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Di peringkat awal 100 hari pertama ini, fokus saya ialah kepada low-hanging fruits, sebelum kita berpindah ke isu-isu lebih besar.

“ni termasuklah memberi kuasa autonomi kepada IPT, memberi kebebasan bersuara kepada mahasiswa dengan mewujudkan semula Sudut Pidato (speaker corner), mengurangkan beban guru daripada tugas perkeranian, memperkasa sekolah kebangsaan dan pendidikan khas, memastikan murid tidak lagi menggalas beg yang berat, meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dengan memperkasakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan menggalakkan pelajar menguasai lebih daripada tiga bahasa.

Ujar Maszlee, kementerian beliau juga mengambil langkah untuk memulakan kajian inklusif untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) selaras dengan Manifesto Pakatan Harapan. Ini termasuk membentuk sebuah jawatankuasa khas bagi tujuan itu.

Universiti Awam (UA) katanya, digalak menganjurkan lebih banyak perbahasan atau dialog dengan pihak-pihak berkepentingan (stakeholders).

Ujarnya, beliau dan Kementerian Pendidikan bersikap terbuka untuk menerima pandangan daripada mana-mana pihak bagi menjayakan agenda dasar pendidikan negara.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga Kementerian Pendidikan dan pemegang taruh (stakeholders) yang sepanjang 100 hari yang lalu, telah memberi kerjasama yang padu kepada beliau dan pasukannya dalam mengemudi Kementerian Pendidikan.

Lampiran inisiatif tersebut adalah seperti berikut:

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0