Malaysia Dateline

100 keluarga terjejas PKP terima bantuan AMANAH Sarawak

Seramai 100 buah keluarga di sekitar Kuching yang terjejas bekalan makanan telah menerima bantuan daripada Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak ekoran Perintah Kawalan Pergerakan(PKP)yang dikuatkuasakan sejak 13 Mac lalu.

Timbalan Pengerusinya, Hud Andri Zulkarnaen berkata, pihaknya telah menyampaikan bantuan berupa makanan kepada golongan kurang kemampuan yang rata-ratanya bekerja sendiri, golongan asnaf, warga emas dan orang kelainan upaya.

Katanya, dana untuk membeli makanan adalah hasil sumbangan daripada ahli-ahli AMANAH dan DAP Sarawak selain individu perseorangan.

“Alhamdulilah…kita amat bersyukur kerana dapat membantu keluarga yang terputus bekalan makanan sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

“Dengan bantuan ini, kita berharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban seramai 100 buah keluarga yang benar-benar dalam kesusahan sekarang,” ujar beliau ketika menyampaikan sumbangan kepada penerima di Kampung Senari, Kuching hari ini.

Menurut Hud Andri, AMANAH Sarawak akan terus membantu golongan kurang mampu walaupun dengan sumber dana yang agak terhad ketika ini.

“In shaa Allah…kita akan teruskan program sumbangan ini dari masa ke semasa bagi membantu keluarga-keluarga yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan(PKP)yang dilaksana sehingga 14 April ini,” tambahnya yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Peduli Kuching(Peduli).