Malaysia Dateline

100 kes baharu, Covid-19 naik semula ke tiga angka

Selepas tiga bulan kerajaan melaksanakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Malaysia mula mencatat peningkatan kes positif Covid-19 yang melonjak ke 100 kes setakat jam 12 tengahari tadi.

Ini sekaligus menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,559 kes.

Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 100 kes baharu yang dilaporkan, 15 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan dua warganegara Malaysia dan 13 bukan warganegara.

“Daripada 100 kes baharu yang dilaporkan, 85 kes adalah kes penularan di dalam negara yang melibatkan 55 warganegara Malaysia dan 30 bukan warganegara,” katanya dalam sidang media hari ini.

Perincian 15 kes import tersebut adalah dari negara:

• India (enam kes di Selangor, empat kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, satu kes di Negeri Sembilan);
• Indonesia (dua kes di Selangor);
• Pakistan (satu kes di Selangor); dan
• Filipina (satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur).

Perincian 85 kes tempatan adalah seperti berikut:

i. Sabah:
• 62 kes daripada Kluster Benteng Lahad Datu.
ii. Kedah:
• 22 kes daripada Kluster Sungai.
iii. Perlis
• Satu kes daripada Kluster Sungai.
Noor Hisham juga memaklumkan setakat ini tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes (1.34 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 12 kes yang telah pulih hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah sebanyak 9,136 kes (95.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).