Malaysia Dateline

100 pelajar terpilih dibantu AMANAH Jerlun hadapi sesi persekolahan

Memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat serta membebankan, Parti AMANAH Negara kawasan Jerlun mengambil inisiatif dengan segera bagi meringankan beban keluarga miskin dan golongan berpendapatan rendah menjelang sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.

Dr Salmee Said

Sehubungan itu, Naib Pengerusi II, AMANAH Negeri Kedah, Dr Salmee Said bersama-sama dengan kepimpinan kawasan telah menggerakkan jentera dengan mengadakan program gunting rambut percuma yang diadakan di Kampung Kandis, Kodiang kelmarin.

Menurut beliau lagi, seramai 100 pelajar terpilih telah pun mendapat manfaat dalam program gunting rambut percuma yang turut dibantu oleh tiga tukang gunting rambut.

“Tindakan kerajaan yang mengenakan cukai GST terhadap barangan keperluan sekolah amat membebankan rakyat khususnya bagi keluarga yang mempunyai anak yang ramai.

Dr Salmee menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada salah seorang pelajar dan waris di Jerlun.

“Sekiranya dalam sebuah keluarga tersebut mempunyai empat atau lima orang anak yang masih bersekolah, sudah pasti beban yang ditanggung amat menyulitkan.

“Atas kesedaran sosial tersebutlah Parti AMANAH mengambil pendekatan segera dengan menyalurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga yang ada dalam kawasan Jerlun,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Penyelaras bagi Dun Kota Siputeh turut berkata, selain daripada program gunting rambut percuma, sumbangan kelengkapan barangan persekolahan turut diberikan.

Malah katanya, sumbangan yang diberikan berupakan beg sekolah, kasut serta stokin bagi meringankan beban keluarga.

“Secara kasarnya setiap keluarga terpaksa menyediakan sekurang-kurangnya RM200 bagi persediaan kelengkapan sekolah seperti pakaian, beg dan alat tulis.

“Ini belum lagi termasuk buku tulis yang perlu disediakan bagi setiap pelajar mengikut jumlah subjek yang dipelajari.

“Kos yang perlu ditanggung oleh setiap keluarga bagi setiap anak amat membebankan serta memerlukan perbelanjaan yang besar,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu katanya, AMANAH Jerlun akan senantiasa menyantuni pelajar miskin dan memerlukan bagi memudahkan urusan pembelajaran mereka.

Jelasnya lagi, selain dari itu AMANAH kawasan turut menganjurkan program motivasi pelajar bagi menanam semangat dan kesedaran pelajar terhadap pelajaran.

Dr Salmee juga berkata, AMANAH akan terus membantu semua golongan masyarakat dan peduli terhadap keperitan yang sedang dialami oleh rakyat kesan dari polisi menekan yang dilaksanakan oleh kerajaan Umno dan BN.

Sejajar dengan itu beliau amat mengharapkan rakyat khususnya dalam negeri Kedah dapat membuat perubahan menjelang pilihan raya umum ke-14 yang akan datang dengan memberi mandat kepada AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) untuk menerajui kepimpinan.