Malaysia Dateline

1000 pelajar SK, SJKC, SJKT terima bantuan beg sekolah

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah membezakan mana-mana golongan pelajar termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) maupun Sekolah Jenis Kebangsan Tamil (SJKT).

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail ketika menyampaikan sumbangan kepada 1000 pelajar dari SK, SJKC dan SJKT dalam Parlimen Kulim-Bandar Baharu yang telah diadakan di SK Terap, Kulim petang semalam.

Jelas beliau lagi sumbangan yang diberikan kepada semua pelajar tersebut adalah bagi meringankan beban keluarga menjelang sesi persekolahan yang akan dibuka tidak lama lagi.

 

Saifuddin bersama sebahagian dari pelajar yang menerima sumbangan beg sekolah petang semalam di Sek Keb Terap Kulim Bandar Baharu

“Sumbangan ini adalah membuktikan komitmen kerajaan bagi membantu keluarga yang memerlukan khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Dengan kos yang semakin meningkat, maka inisiatif yang diambil oleh kerajaan adalah suatu keperluan bagi meringankan beban tersebut.

“Malah pemberian sumbangan adalah berdasarkan kepada senarai nama pelajar yang telah diberikan oleh pihak sekolah untuk diagihkan, ” tegas beliau lagi.

Selain itu katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut menerima aduan mengenai kenaikan harga kelengkapan sekolah.

Walau bagaimana pun ujarnya, setiap aduan yang diterima akan dipantau dan diambil tindakan segera.

“Talian aduan oleh pihak kementerian sememangnya terbuka melalui beberapa kaedah yang boleh dibuat oleh pengguna.

“Jumlah aduan yang diterima mengenai kenaikan harga barangan tersebut juga meningkat antara 15 hingga 20 peratus.

“Sehubungan itu pihak penguatkuasaan akan meneruskan pemantauan bagi memastikan perkara ini dapat diatasi dan dikawal dengan segera,” ujarnya lagi.

Beliau juga berkata, pihak kementerian tidak akan bertolak ansur melibatkan keperluan pengguna dan memberi perhatian serius terhadap keluhan yang diterima.