Malaysia Dateline

1000 pelajar UiTM dapat manfaat dari program Sedekah Ramadan

UiTM cawangan Pulau Pinang berjaya menempa sejarah buat kali pertama melancarkan program Sinergi Sedekah Ramadan (SINAR) 1.0 setelah berjaya memanfaatkan 1000 pelajar dalam kampus dan 200 pekerja pembersihan, polis bantuan dan siswa yang tidak dapat balik ke kampung berhari raya menerusi sumbangan kurma berbuka puasa.

Yang menariknya ialah kutipan melebihi RM 11,000 tersebut dibuat dikalangan staf, alumni, siswa dan siswi serta masyarakat untuk diagihkan menjelang lebaran.

Program tersebut yang dimulakan pada tahun ini memperlihatkan pengorbanan besar siswa dan siswi UiTM Pulau Pinang apabila 60 peratus daripada sumbangan yang dikumpulkan adalah daripada pelajar-pelajar tersebut.

Ia juga merupakan program inisiatif yang dianjurkan oleh wakil pelajar dengan tujuan memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan sebagai tanggungjawab sosial universiti dibawah petunjuk prestasi Pelan Strategik UiTM 2025.

Menurut kenyataan yang diterima Malaysia Dateline dalam memperkasakan adab seorang siswa khususnya di UiTM, ekosistem dan pembudayaan sedekah harus dibugarkan bagi membina karakter ‘memberi’ dan cakna disekeliling khususnya golongan yang memerlukan.

Dalam pada itu, sumbangan berupakan bantuan keperluan rumah kepada 64 orang pekerja kontrak pencucian yang bertugas di kawasan kolej yang terdiri daripada golongan B40, ibu tunggal dan warga emas turut diberikan disamping pelajar-pelajar Sabah, Sarawak, Kelantan, Johor dan beberapa buah negeri lain yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan serta tidak pulang beraya.

Majlis sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Rektor UiTM cawangan Pulau Pinang, Ts. Dr Salmiah Kasolang.