Malaysia Dateline

1,026 orang disaring dalam Kluster Sentosa, 31 positif

Sejumlah 1,026 orang telah disaring di dalam kluster Sentosa dan daripada jumlah tersebut 31 orang dikesan positif COVID-19, 888 negatif dan 107 masih menunggu keputusan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham, saringan ini merangkumi petugas kesihatan, ahli keluarga mereka, pekerja syarikat pembersihan, pengawal keselamatan, pesakit dan lain-lain kontak rapat.

Katanya, kluster ini telah melibatkan kes sehingga generasi kedua ianya berpunca jangkitan adalah masih di dalam siasatan.

Namun, katanya, hasil siasatan awal mendapati bahawa kemungkinan besar punca adalah daripada aktiviti di dalam komuniti.

Katanya, langkah pencegahan penularan jangkitan yang telah diambil antaranya, aktiviti terminal cleaning di seluruh bangunan hospital termasuk kawasan berisiko tinggi mengikut Prosedur Standard Operasi (SOP) KKM, pesakit dan anggota kesihatan yang disahkan positif COVID-19 telah diasingkan dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak, aktiviti pengesanan kontak rapat kes positif COVID-19 diteruskan, dan kontak rapat kepada anggota kesihatan dan pesakit yang dikesan positif telah diasingkan di pusat kuarantin.

“Bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan melindungi pesakit serta anggota kesihatan, operasi Jabatan Pesakit Luar dan kemasukan pesakit baru telah dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak.

“Rawatan bagi pesakit sedia ada adalah masih diteruskan,” katanya.

Sementara itu, bagi Kluster Mambong, seramai 198 orang telah disaring di dalam kluster ini (iaitu 188 warganegara Malaysia dan 10 bukan warganegara telah disaring).

Daripada jumlah tersebut tujuh dikesan positif COVID-19 dua kes terdiri daripada bukan warganegara dan 191 dilaporkan negatif.