1050 pelbagai kaum sertai AMANAH di Sabah, beritahu Mohamad Sabu

1050 pelbagai kaum sertai AMANAH di Sabah, beritahu Mohamad Sabu
Mohamad menerima 1050 borang permohonan menyertai AMANAH di Tawau, Sabah hari ini.

Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu menerima 1,050 borang permohonan untuk menyertai parti itu dari pelbagai pihak dan kaum di Sabah hari ini.

Beliau menyifatkan, inilah rahsia kejayaan AMANAH dan Pakatan Harapan, disokong oleh pelbagai pihak dan kaum bukan golongan tertentu sahaja.

Mohamad menerima borang itu ketika menghadiri majlis minum petang di Taman Rekreasi Air Panas di Tawau, Sabah.

“Saya menerima 1,050 borang permohonan untuk menjadi ahli Parti Amanah Negara (AMANAH).

“Satu permohonan keahlian paling ramai dari Sabah setakat ini dan satu perkembangan politik yang menarik pasca PRU14 bagi negeri Di Bawah Bayu ini,” kata Mohamad ketika berucap dalam majlis itu.

Mereka ini, katanya, terdiri dari pelbagai bangsa dan agama termasuk Melayu, Cina, Kadazan, Dusun, Iban, Bugis, Sino, Bajau, Suluk serta Cocos.

Menurut beliau, semua pihak perlu sedar bahawa kekuatan Pakatan Harapan hari ini adalah kerana gabungan parti-parti didalamnya yang disokong dan didukung oleh pelbagai bangsa dan masyarakat.

“Inilah resepi ampuh mengalahkan Umno BN dalam PRU14 yang lalu.

Loading...

“Selamat datang kepada semua ahli-ahli baru AMANAH. Sama-sama kita bergabung membawa Islam – Rahmat untuk semua,” kata beliau.

Terdahulu ketika berucap, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan mengingatkan bahawa keamanan negara dan keharmonian kaum adalah tanggungjawab bersama dan hendaklah sentiasa dijaga.

“Andai sentimen dan api perkauman dinyalakan, maka sangat payah untuk dipadamkan,” katanya.

Muhamad berucap kepada ahli AMANAH di Tawau, Sabah hari ini, 2 Disember.