Malaysia Dateline

10,597 penduduk miskin di Negeri Sembilan berdaftar dalam eKasih

Penduduk miskin tegar dan miskin yang berdaftar dalam eKasih di Negeri Sembilan sehingga 31 Oktober lepas adalah seramai 10,597 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga Dan Kebajikan negeri Nicole Tan Lee Koon berkata mengikut pecahan daerah, Seremban mencatat 5,516 orang, Kuala Pilah (1,430 orang), Jempol (980 orang), Tampin (871 orang), Rembau (691 orang), Jelebu (608 orang) dan Port Dickson (501 orang).

“Berdasarkan laporan bantuan eKasih sehingga 31 Okt lepas, bilangan penerima bantuan adalah sebanyak 7,212 orang dengan jumlah 26,862 bantuan dalam pelbagai jenis. Seorang penerima bantuan kemungkinan menerima lebih daripada satu jenis bantuan dan menerima bantuan tersebut setiap tahun berdasarkan kelayakan mereka,” katanya menjawab soalan Chew Seh Yong (DAP-Lobak) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Tan berkata berdasarkan laporan eKasih dalam tempoh yang sama, mereka yang dikategori sebagai kumpulan terkeluar daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) tahun 2014 atas sebab peningkatan pendapatan adalah sebanyak 12,551 ketua isi rumah.

Katanya antara faktor penyumbang ke arah peningkatan pendapatan adalah kerana mereka menerima bantuan daripada agensi kerajaan.

Sementara itu, Menteri Besar Aminuddin Harun ketika menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Serting) berkata kerajaan negeri akan sentiasa mempelbagaikan pakej pelancongan Negeri Sembilan bagi meningkatkan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negeri.

Katanya antara pakej pelancongan yang ditawarkan oleh pengusaha produk pelancongan ialah pakej inap desa Pachitan, pakej ‘Colours of Negeri Sembilan’ iaitu persembahan kebudayaan Negeri Sembilan dan pakej ‘Murex Watersport’ (permainan sukan air seperti ‘snorkeling’, memancing dan jet ski).

Menjawab soalan Ng Chin Tsai (DAP-Temiang) pula, beliau berkata kerajaan negeri akan sentiasa memajukan aktiviti pelancongan tempatan merangkumi keseluruhan kawasan berdasarkan kesesuaian dan sejauh mana potensi sesuatu kawasan tersebut dapat menarik bilangan kedatangan pelancong serta berupaya menghasilkan impak pelancongan yang berkesan.

Di samping itu, katanya produk-produk sedia ada di kawasan Temiang seperti Ban Joo Lee (balai polis lama), Masjid Jamek Seremban, bangunan Penasihat Undang-Undang, tokong Lit Sent Gong, tokong Tam Gong, Persatuan Sei Yap Negeri Sembilan dan Persatuan Fui Chew Negeri Sembilan akan disenaraikan sebagai satu daripada produk tarikan pelancongan dalam pelaksanaan program ‘Seremban Heritage Trail’.

— BERNAMA