Malaysia Dateline

1,072 terima sijil keahlian AMANAH di Beting Maro

Seramai 1,072 orang telah menerima sijil keahlian Parti AMANAH Negara di Dewan Undangan Negeri (Dun) Beting Maro semalam.

Setiausaha Parti AMANAH Sarawak, Fadillah Sabali berkata, jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada keseluruhan hampir 3,000 permohanan ahli baharu pada tahun lalu.

Justeru katanya, baki lagi permohanan kini masih dalam proses pendaftaran dan hanya diketahui selewat-lewatnya hujung Februari dan awal Mac nanti.

“Saya mohon kepada nama-nama yang belum mendapat sijil keahlian AMANAH bersabar dahulu.

“Ini kerana, kita masih menunggu proses pendaftaran di peringkat AMANAH Nasional dalam masa terdekat ini,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Mesyuarat Penajaan AMANAH Kawasan Batang Lupar di Kampung Beladin, Betong semalam.

Menurut Fadillah, AMANAH Sarawak telah banyak menerima permohanan ahli baharu dari seluruh negeri termasuk di kawasan Lawas.

Jelasnya, ini membuktikan bahawa Parti AMANAH Negara mampu menarik penyokong dan pengundi sekali gus berupaya melebarkan parti ini di seluruh Sarawak.

“In shaa Allah…nanti saya akan maklumkan keseluruhan ahli-ahli AMANAH di Sarawak sebaik segala proses pendaftaran ahli diterima nanti.

“Dan saya yakin bahawa ini adalah petanda kita akan mampu mencipta kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak yang bakal diadakan selewat-lewatnya Mei 2021,” tegas beliau.

Pada masa sama, beliau turut memberitahu banyak lagi kawasan dan cawangan AMANAH akan ditubuhkan dalam masa terdekat ini.

Katanya, terdapat kawasan dan cawangan yang masih dalam kelulusan di peringkat AMANAH Nasional di samping ada yang dalam proses penubuhan.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada 11 daripada 32 cawangan di Dun Beting Maro yang telah mendapat kelulusan pendaftaran baru-baru ini.

“Manakala baki yang lain kini sedang dalam proses pendaftaran dan dijangka diluluskan dalam masa dua bulan ini,” ujarnya lagi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengerusi AMANAH Sarawak, Hud Andri Zulkarnaen, Naib 2, Maxwel Rojis dan Ketua Penaja AMANAH Kawasan Batang Lupar, Kassim Rosli.