1,076 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan di Selangor

Oleh KIM SYAZIE

Sebanyak 1,076 kes penderaan terhadap kanak-kanak dilaporkan sejak Januari hingga September 2021, mengikut statistik yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Selangor.

Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kes penderaan itu dikategorikan kepada tiga iaitu penderaan fizikal, penderaan emosi dan penderaan gangguan seksual, tanpa mengkhususkan kepada kes pedofil.

Daripada 1,076 kes yang dilaporkan, 527 membabitkan penderaan fizikal, 514 kes adalah gangguan seksual, manakala 35 kes melibatkan penderaan emosi.

“Bagi membantu mencegah dan mengurangkan kes kanak-kanak termasuk kes pedofilia, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor mempunyai 11 Pasukan Pelindungan Kanak-kanak (PPKK) di setiap daerah di Selangor.

“Fungsi PPKK adalah untuk memberitahu apa-apa kejadian penganiayaan dan pengabaian kepada mana-mana Pelindung atau Pegawai Kebajikan Masyarakat (PKM).

“Selain itu, memberitahu mana-mana Pelindung atau PKM jika terdapat ibu atau bapa pelihara yang sesuai untuk kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan pelindungan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan (PH-Bukit Melawati), Juwairiya Zulkfili yang bertanya jumlah kes pedofilia yang di catatkan di negeri Selangor sejak tahun 2018.

Beliau juga bertanya, bagaimana pihak kerajaan negeri membantu mengurangkan kes pedofilia yang membimbangkan.

PPKK merupakan sistem sokongan kepada perkhidmatan perlindungan kanak-kanak di peringkat komuniti.

Kesalahan berkaitan jenayah seksual kanak-kanak dikuatkuasakan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak 2001.