Malaysia Dateline

108 pimpinan muda AMANAH sokong seruan PH Plus bersatu sebagai pasukan

Seramai 108 kepimpinan muda AMANAH menyokong seruan dua pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) yang mengajak kesemua pakatan pembangkang membina satu pasukan berpadu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN), Wanita Muda AMANAH (Warda) dan sayap Pemuda parti dari seluruh Semenanjung Malaysia.

Menurut kepimpinan muda parti itu, mereka berpandangan bahawa kesatuan dalam kalangan semua parti komponen pembangkang adalah mustahak bagi menghadapi cabaran politik serta persediaan bagi PRU-15.

“Pakatan Harapan perlu mengambil langkah progresif bagi membuka semula pintu rundingan kepada parti-parti pembangkang yang lain agar dapat membina semula imej dan kekuatan menjelang tahun hadapan.

“Idea politik baharu iaitu Gabungan Besar atau disebut sebagai ‘Grand Coalition’ bukanlah satu perancangan untuk membelakangi mana-mana parti komponen PH.

“Tetapi kita memerlukan ikhtiar baharu untuk menggerakkan gabungan parti pembangkang dalam satu visi dan misi yang sama iaitu menolak kleptokrasi dan mengangkat nilai demokrasi, integriti serta urustadbir yang baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, antaranya Abbas Azmi; AWAN yang diwakili Pengarah Komunikasinya, Anis Afida; Pemuda-pemuda negeri termasuk Ketua Pemuda AMANAH Petaling Jaya, Ammar Atan; dan Pengarah Komunikasi Warda, Fatihah Salahuddin bersama Warda negeri.

Terdahulu, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengajak kepada satu anjakan politik bagi menyatukan kesemua Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang bersama dengan PH untuk menentang Belanjawan 2021.

Kedua-dua pimpinan tertinggi PH itu turut menegaskan, pembangkang tidak boleh lagi membuang masa dengan Ahli Parlimen kerajaan yang hanya memperalatkan gabungan itu untuk kepentingan peribadi mereka sendiri demi mendapatkan tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Malah katanya, kesemua pemimpin PH mesti mengetepikan bebanan lampau supaya pakatan itu dapat berkembang menjadi PH Plus dengan kekuatan sehebat 108 Ahli Parlimen.

Dalam pada itu, pimpinan muda AMANAH mengingatkan, sudah sampai masa untuk PH bersama parti-parti pembangkang memberi fokus kepada penyatuan bagi menggembleng usaha bergerak sebagai satu pasukan, selain menampilkan wajah-wajah kepimpinan yang baru dan mengenepikan perbezaan.