Malaysia Dateline

1,086 pelarian Myanmar dihantar pulang, walaupun mahkamah arah hentikan

Jabatan Imigrasen Malaysia menghantar balik 1,086 pelarian Myanmar tanpa dokumen hari ini walaupun Mahkamah Kuala Lumpur mengarahkan agar tindakan itu dihentikan dalam keputusannya pagi tadi.

Dalam kenyataannya hari ini, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua mereka dihantar pulang dengan menggunakan kapal yang dimiliki oleh tentera laut Myanmar.

Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini mengeluarkan arahan agar penghantaran mereka ditangguhkan selama dua hari.

Perkara ini dimaklumkan oleh peguam Lim Wei Jiet yang mewakili Amnesty International Malaysia dan Asylum Access Malaysia, yang memohon tindakan mahkamah untuk berbuat demikian.

Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui Facebook jabatan hari ini, tindakan itu dilakukan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), National Task Force (NTF) dan pihak Kedutaan Myanmar.

Kesemua mereka telah melaksanakan program penghantaran pulang 1,086 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Myanmar pada hari ini.

“Semua PATI warganegara Myanmar tersebut telah ditahan dalam depot-depot Imigresen di seluruh negara sejak tahun 2020. Mereka dihantar pulang melalui Pangkalan TLDM Lumut, Perak dengan menggunakan 3 buah kapal Tentera Laut Myanmar,” kata kenyataan itu.

Kapal Tentera Laut Myanmar yang membawa pulang pelarian mereka dari negara ini meninggalkan perlabuhan Lumut.

“JIM ingin menegaskan bahawa semua tahanan yang dihantar pulang adalah merupakan PATI warganegara Myanmar dan tidak melibatkan etnik Rohingya atau pencari suaka.

“Kesemua mereka yang dihantar pulang itu telah bersetuju untuk pulang secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak,” kata kenyataan itu lagi.

Program penghantaran pulang ini merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh Jabatan Imigresen bagi tahanan yang ditempatkan di depot Imigresen. Proses pengusiran pada tahun 2020 berjalan agak perlahan kerana kebanyakan negara menutup pintu sempadan masing-masing.

Jabatan ini, kata kenyataan itu, melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Wisma Putra akan terus berusaha untuk mendapatkan persetujuan negara-negara terbabit seperti Vietnam, Indonesia, Bangladesh dan lain-lain supaya membawa pulang rakyat mereka yang kini ditahan dalam depot-depot Imigresen dalam jumlah yang besar.

Pakatan Harapan dalam satu kenyataannya hari ini menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia perlu mempertimbang semula keputusan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar kerana tindakan sedemikian mengesah dan mengiktiraf junta tentera di Myanmar.

Dalam kenyataan bersama tiga pemimpinnya berkata, tindakan menghantar pulang pelarian ke zon konflik sebelum keadaan benar-benar stabil dan selamat mungkin menjejaskan keselamatan pelarian.

“Pakatan Harapan menggesa Kerajaan Malaysia untuk memulakan dialog di antara pemimpin-pemimpin ASEAN dan junta Myanmar untuk menghentikan kekerasan terhadap penunjuk perasaan, membebaskan semua tahanan politik, serta mengembalikan demokrasi dan institusi Parlimen di Myanmar,” kata kenyataan itu.

Pada Disember 2016, Umno dan Pas bergabung menganjurkan Himpunan Solidariti untuk Rohingya.

Perhimpunan itu dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama ribuan penyokong Umno dan Pas.

Perhimpunan itu turut mengumpulkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta tokoh-tokoh politik, masyarakat dan negara sebagai tanda solidariti bagi menentang kekejaman terhadap etnik Rohingya.