Malaysia Dateline

1,088,711 pengundi tentukan ‘nasib’ rakyat Sabah esok

Seramai 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah esok sekali gus menentukan keseluruhan ‘nasib’ rakyat di negeri ini untuk lima tahun akan datang.

Manakala seramai 14,935 orang telah mengundi secara pos pada 22 September lalu.

Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Isyak, bagi pengundi yang telah menerima kad pengundi atau yang telah mengetahui maklumat pengundian, mereka boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu membuat semakan di barung SPR.

Jelas beliau, SPR turut meletakkan maklumat masa keluar mengundi yang digalakkan pada kad pengundi.

Bagaimanapun, katanya jika pengundi tidak dapat hadir pada masa berkenaan, mereka boleh keluar mengundi mengikut masa yang ditetapkan dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang.

“Untuk pengundi yang tidak menerima kad pengundi kerana berkemungkinan berpindah atau belum mengetahui pengundian, mereka disarankan agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi,” katanya dalam satu kenyataan.

Ikmalrudin menegaskan, pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan kad pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkan kepada kerani pengundian di saluran bagi memudahkan untuk membuat semakan.

Justeru, SPR menyarankan supaya semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi esok.

PRN Sabah diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lalu.

Ia menyaksikan 447 calon termasuk 56 calon Bebas bertanding bagi merebut 73 kerusi DUN termasuk 13 kerusi baharu.