Malaysia Dateline

AWAN Nasional hulur sumbangan RM24,000 kepada dua anak yatim piatu

Anas dan Huzaifah kini sihat selepas cedera dalam kemalangan yang mengorbankan ibu bapa mereka dua bulan lalu.

Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM24,000 kepada sepasang anak yatim piatu di Tebrau kelmarin.

Ketuanya, Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata, kunjungan bersama AMANAH Tebrau itu diadakan selepas sesi lawatan kerja sayap wanita parti itu di Johor.

Dua beradik yatim piatu ialah anak kepada Setiausaha AMANAH Tebrau, Allahyarham Herry Mohd Ali, 43, dan Khairrunisa Azman, 34.

Mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 20.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Kulai pada 9 Mei lalu iaitu 16 Ramadan kira-kira jam 11 malam.

Anas Ayyash, 6, dan Ahmad Huzaifah, 4, yang ketika itu duduk di kerusi penumpang bahagian belakang cedera selepas difahamkan tercampak keluar dari kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Caldina yang dinaiki.

Dua beradik berkenaan kemudiannya dilapor terpaksa menahan sakit kira-kira 12 jam sebelum disedari pekerja Propel Plus kira-kira jam 10.40 pagi keesokan harinya.

Mereka dibawa ke Hospital Kulai dengan ambulans bomba untuk mendapat rawatan.

“Alhamdulillah. Kedua-duanya, Anas dan Huzaifah sekarang kelihatan sihat dan gembira berada dalam jagaan datuk dan nenek mereka,” kata Aiman Athirah¬† dalam perkongsian di Facebook.

Aiman Athirah ketika menziarahi dua anak pimpinan AMANAH Tebrau yang telah meninggal dunia Ramadan lalu.